Alkisah Exco kerajaan Perak
A
A
A
Bermula dengan pembentukan kerajaan, disusuli pula pemilihan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk dilantik sebagai Exco kerajaan negeri.
Dilihat dari segi angka dan komposisi yang ada, kerajaan yang dibentuk amatlah rapuh apabila terpaksa mendapatkan ihsan dua ADUN Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan.
Pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Pakatan Harapan (PH) mendapat 29 daripada 59 kerusi DUN yang dipertandingkan. Daripada jumlah itu DAP memperoleh 18 kerusi, enam kerusi dimenangi Amanah, empat milik PKR dan satu daripada Bersatu.
Kerajaan PH di Perak boleh disifatkan sebagai kerajaan ‘terkejut’ bak kata Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PH Perak pada Ahad lalu bahawa beliau sendiri tidak menyangka dilantik sebagai Menteri Besar Perak.
Apa tidaknya, parti yang hanya menang satu kerusi dengan majoriti 39 undi boleh jadi menteri besar komer, ajenye yer kata orang Perak! Sedangkan DAP memiliki kelebihan dengan 18 kerusi DUN dengan seorang ADUN Melayu (dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak menetapkan seorang menteri besar yang dipilih hendaklah seorang Melayu dan beragama Islam) pun tidak terpilih.Lucunya, di sebalik kerapuhan majoriti itu, ada pula ADUN yang sangat berani menggerakkan usaha menjatuhkan Ahmad Faizal untuk mencuba nasib kalau-kalau dapat jadi menteri besar.
Jika diimbau, sidang DUN Perak pada November tahun lalu yang sepatutnya membahaskan Bajet Negeri 2019 tenggelam dengan kisah Exco kerajaan negeri memujuk ADUN BN menyokong usahanya menyingkirkan menteri besar.
Biarpun bukti rakaman audio dan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat, Ahmad Faizal tetap menafikan wujudnya gerakan itu dan terus meletakkan kepercayaan kepada Exco-Exco yang dilantik.
Mujurlah perkara itu tak berlaku, kalau tidak krisis politik 2009 kembali dan mungkin drama persidangan bawah pokok diulang tayang.
Habis isu itu, timbul pula desas-desus penukaran Exco apabila dikatakan dua ADUN akan digugurkan dan diganti dengan muka baharu.
Maka ‘bersilat’ kembali Ahmad Faizal menepis khabar angin itu walaupun memang wujud permintaan daripada PKR Perak untuk menggantikan salah seorang Exco yang mewakili parti itu disebabkan kem berlainan.
Pelantikan atau pengguguran seseorang Exco merupakan hak prerogotif seorang menteri besar kerana beliau memerlukan satu pasukan yang boleh ‘satu kepala' bersama untuk mentadbir negeri.
Namun, langkah untuk menukar Exco sedia ada bukan sesuatu yang mudah dalam keadaan gabungan pakatan yang sangat rapuh kerana kesetiaan ahli politik sukar dibaca dan bersifat dinamik.
Lihat sahaja apa yang berlaku kepada pembangkang, siapa sangka UMNO dengan Pas yang berseteru begitu lama tetapi sekarang boleh hadir bersama-sama dalam mesyuarat perwakilan masing-masing dan berdiri di atas satu pentas sama.
Begitu juga jangan lupa peristiwa kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat pada tahun 2009 disebabkan dua orang Exco, Datuk Jamaluddin Mohd Radzi dan Osman Jailu yang bertindak menjadi ADUN bebas kerana rasa tidak puas hati mereka terhadap menteri besar ketika itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan perkara sama boleh sahaja berulang.
Mengambil iktibar daripada peristiwa itu, kemungkinan besar pertukaran Exco tidak akan berlaku dalam waktu terdekat walaupun sudah lebih setahun kesemua 10 Exco yang dipilih belum mengangkat sumpah memperbaharui ikrar mereka.
Ahmad Faizal tentunya akan memilih risiko yang paling kecil untuk menyelamatkan pentadbiran PH di Perak.
Pengekalan Exco sedia ada juga memudahkan kerajaan meneruskan sebarang perancangan dan hala tuju membangunkan negeri.
Di sebalik pelbagai isu dan cerita yang timbul sebelum ini, Exco-Exco kerajaan negeri kini pastinya gembira dengan penukaran kereta rasmi baharu daripada Proton Perdana berwarna hitam kepada Toyota Camry berwarna merah dengan nilai keseluruhan 16 buah kenderaan itu RM1.74 juta.
Cuma ironinya, pada saat Proton mengeluarkan kenderaan baharu dengan rekaan yang ‘merecik’ di Tanjung Malim, kerajaan Perak memilih menggunakan kereta buatan Jepun sebagai kenderaan rasmi para pemimpin kerajaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!