Penggunaan Bangsa Johor tidak relevan di Malaysia: Hassan

Hassan Abdul Karim
A
A

KUALA LUMPUR- Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antara Negeri-negeri dan Persekutuan, Hassan Abdul Karim mendesak penggunaan terma Bangsa Johor dihentikan kerana ia dianggap tidak sihat sedangkan Malaysia sebuah negara Persekutuan.

Katanya, orang Johor tidak boleh taksub dengan terma Bangsa Johor kerana ia bersifat kenegerian yang tidak bersifat nasional.

“Malaysia negara Persekutuan federalisme kita ada peringkat nasional, peringkat negeri harus utamakan kesatuan Malaysia.

“Jadi tak boleh taksub, tak boleh obses, tak boleh bersikap kenegerian... itu tidak sihat. Saya anak Johor, saya bangga sebagai orang Johor tapi saya mendukung negara Persekutuan Malaysia,” katanya.

Hassan yang juga Pengerusi PKR Johor berkata, Johor hanya salah satu negeri dalam Malaysia sedangkan ada 13 lagi negeri lain.

“Konsep kita konsep politik dan konsep antropologi dan sosiologi iaitu negara bangsa Malaysia. Kita orang Melayu, kita orang Cina, kita orang Iban, kita orang Kadazan kita orang India maka kita semua adalah Bangsa Malaysia, itu pendirian saya.

“Kita mesti didik pembentukan Bangsa Malaysia kita dah berapa puluh tahun merdeka, jadi kalau ada Bangsa Johor, ada Bangsa Kedah, ada Bangsa Sarawak ada Bangsa Terengganu... sampai bila kita tak ada kesatuan. Mengambil contoh negara Indonesia, terdapat beribu pulau besar tetapi menggunakan bangsa Indonesia tanpa membezakan dengan gelaran Bangsa Jawa,dan Sunda,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas kenyataannya yang disifatkan bertentangan dengan istana, Ahli Parlimen Pair Gudang itu berkata, beliau terpaksa menyatakan perkara yang benar.

“Saya faham, maknanya saya juga berhati-hati saya hormati institusi sultan dan tapi saya terpaksa menyatakan yang benar dari segi politik, antrologi, sosiologi iaitu kena terima hakikat negara kita negara Persekutuan. Jadi bermakna Johor maknanya kita sebut orang Johor, orang Kedah, anak Johor, jadi tak boleh Bangsa Johor, salah.

“Saya sebagai Ahli Parlimen maknanya saya bercakap sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dan saya memikirkan yang lebih nasional bukan kedaerahan atau kenegerian.

“Konsep itu (Bangsa Johor) digunakan pada tahun 20-an. Ia bermula daripada nenek moyang Sultan Johor yang ada sekarang. Saya menghormati, bukan nak ungkit-ungkit,” jelasnya.

Beliau juga sedia menerima kritikan susulan kenyataannya ini dan menghormati kebebasan bersuara.

“Berbeza pandangan tidak mengapa, mereka boleh berdebat dan berbahas. Ahli budaya dan akademik boleh juga bahaskan perkara ini,” katanya.

Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, penggunaan istilah Bangsa Johor bertentangan dengan perpaduan nasional kerana hanya ada satu bangsa dalam negara ini, iaitu Bangsa Malaysia dan seterusnya mengingatkan bahawa Johor adalah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia.