Isytihar harta: Pas tidak setuju jika didedahkan kepada umum

Amar (tiga dari kanan) merasmikan Taman Memorial Keamanan Kota Bharu di Taman Al-fursan Pengkalan Chepa sempena Hari Peringatan 20 tahun hubungan Kota Bharu dengan Kasaoka, Jepun hari ini.
Amar (tiga dari kanan) merasmikan Taman Memorial Keamanan Kota Bharu di Taman Al-fursan Pengkalan Chepa sempena Hari Peringatan 20 tahun hubungan Kota Bharu dengan Kasaoka, Jepun hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan tidak menolak usul pengisytiharan harta namun tidak bersetuju jika ia didedahkan kepada umum.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya senada dengan cadangan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung isu tersebut.

Apa yang dimaksudkan katanya, pemimpin Pas sedia untuk mengisytiharkan harta kepada Kerajaan Persekutuan dan agensi terlibat seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Exco kerajaan negeri sendiri isytihar harta sejak zaman pentadbiran Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kita tak tolak seratus peratus tapi lebih kepada sikap berhati-hati malah saya sendiri tak setuju sebab ia mendedahkan diri kita kepada kemungkinan yang lain.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perasmian Taman Memorial Keamanan Kota Bharu di Taman Al-fursan Pengkalan Chepa sempena Hari Peringatan 20 tahun hubungan Kota Bharu dengan Kasaoka, Jepun hari ini.

Hadir sama Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Kesihatan, Dr Izani Husin.

Isnin lalu, Tuan Ibrahim menyatakan Pas tidak menyokong usul isytihar harta di Parlimen melainkan ia dipinda merujuk kepada undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Ia selaras dengan keputusan Dewan Rakyat yang sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan disokong Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, diluluskan selepas dibahaskan 26 Ahli Parlimen.

ARTIKEL BERKAITAN: Isytihar harta: Pas nafi perkuda agama