Beras pulut seludup ditinggalkan dalam bot dirampas

Rohizan (kiri) dan anggota polis Marin menunjukkan sebahagian beras pulut yang dirampas dari sebuah bot.
Rohizan (kiri) dan anggota polis Marin menunjukkan sebahagian beras pulut yang dirampas dari sebuah bot.
A
A
A

LANGKAWI - Polis Marin menemui 300 kilogram beras pulut disyaki dibawa masuk dari negara jiran di dalam bot yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di sebatang sungai berhampiran Taman Nilam di sini hari ini.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi, rampasan itu dilakukan sepasukan anggota yang sedang melaksanakan Op Landai di kawasan terbabit kira-kira jam 11.00 pagi.

“Ketika melakukan rondaan, anggota menemui sebuah bot gentian yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan dan apabila memeriksa bot itu terdapat beberapa bungkusan plastik hitam mengandungi beras pulut.

"Beras pulut itu dipercayai dibawa masuk dari Thailand dan ditinggalkan di bahagian dek bot. Anggota turut melakukan intipan hampir sejam namun tiada sebarang tuntutan dibuat mana-mana pihak,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, beras pulut bernilai kira-kira RM2,000 itu termasuk bot serta enjin dengan nilai anggaran RM14,000 kemudian dibawa ke Pangkalan PPM Wilayah Satu di Bukit Malut untuk tindakan lanjut.

"Kes ini akan disiasat bawah Seksyen 22 Akta Polis 1967,” katanya.

Artikel Berkaitan: