Pengharaman eksport pasir laut terpakai kepada semua negara

Dr Xavier Jayakumar
Dr Xavier Jayakumar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengharaman eksport pasir laut oleh Malaysia adalah terpakai kepada semua negara luar dan bukan hanya kepada Singapura, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata, perlombongan pasir laut adalah bagi kegunaan tempatan dan bukan untuk eksport, selain kerajaan mengutamakan faktor kesan kepada alam sekitar akibat aktiviti berkenaan.

“Bila kita (Pakatan Harapan) ambil alih kerajaan, kita putuskan pasir laut tidak dieksport ke mana-mana negara, bukan sahaja Singapura tapi mana-mana negara.

“Bagaimanapun, pasir sungai boleh dieksport ke negara lain namun ia perlu melalui kelulusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Ia (polisi) tidak berubah, sama seperti kerajaan sebelum ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media semalam bahawa Malaysia, sumber terbesar pasir laut ke Singapura, telah mengharamkan eksport komoditi tersebut, langkah yang disifatkan peniaga dapat merumitkan rancangan pengembangan tebus guna tanah di pulau itu.

Xavier berkata keputusan kerajaan itu juga tidak akan menjejaskan hubungan Malaysia dengan mana-mana negara, manakala Singapura bebas mengimport pasir dari negara lain.

“Singapura boleh membeli (dari) mana-mana negara yang menjual pasir jika mahu membuat reclamation (penambakan). Kita tiada hak untuk halang mana-mana negara untuk membuat penambakan,” katanya.

Ditanya sama ada langkah tersebut menjejaskan pendapatan kerajaan, Xavier berkata hasil pendapatan bagi eksport pasir sangat kecil.

Artikel Berkaitan:

“Pendapatan untuk eksport pasir sangat kecil dan ia pergi kepada (kerajaan) negeri. Pendapatan Kerajaan Persekutuan melalui percukaian ke atas syarikat,” katanya.