Saya dah niat nikahkan mereka sendiri: Ayah Najihah

Mohd Radzi bersama Nurul Najihah pada majlis pertunangan Mac lalu.
Mohd Radzi bersama Nurul Najihah pada majlis pertunangan Mac lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Hasrat Mohd Radzi Bedah untuk menikahkan sendiri anak perempuannya, Nurul Najihah, 25, pada petang semalam tidak kesampaian apabila tunangnya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, meninggal dunia pada Isnin lalu.

Menurutnya, mereka sekeluarga juga merancang meraikan kira-kira 1,500 tetamu di kediaman mereka di Taman Damai, di sini hari ini namun reda perancangan Allah.

"Saya dah niat mahu menikahkan mereka sendiri di Masjid Al-Bukhari Pantai Johor, Alor Setar tapi bila dah jadi seperti ini, kita terima seadanya.

"Arwah Adib dengan saya sendiri tidak banyak bercakap. Seperti sewaktu hari raya kita yang perlu banyak bertanya sebab dia ni pemalu," katanya ketika ditemui wartawan.

Mohd Radzi turut mengakui persiapan baju untuk dipakai keluarga sempena perkahwinan tersebut juga sudah siap termasuk baju pengantin yang kini masih berada di butik pengantin.

"Kami sekeluarga ambil kesempatan untuk memenuhi undangan perkahwinan jiran selepas majlis di rumah ini dibatalkan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Radzi turut kesal apabila sebanyak enam akaun palsu Instagram yang menggunakan indentiti Nurul Najihah dikesan wujud di laman sosial dan memanipulasi situasi yang menimpanya dan Allahyarham Muhammad Adib.

Menurutnya, kewujudan akaun palsu tersebut memberi tekanan emosi kepada anaknya yang masih terkesan dengan pemergian Allahyarham Muhammad Adib.

Artikel Berkaitan:

"Sikap tidak bertanggungjawab ini menganggu emosi Najihah dan laporan polis sudah dibuat di IPD Kota Setar sehari selepas Adib meninggal dunia dan akaun-akaun palsu tersebut disedari oleh rakan-rakan Nurul Najihah.

"Depa tulis macam-macam sehingga ada yang membawanya masuk ke Facebook sehingga mendapat kecaman banyak netizen," katanya.

Mohd Radzi berkata, pihak berkuasa memaklumkan bahawa kes tersebut akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, berikutan perkara itu juga Nurul Najihah menutup sementara akan Facebook miliknya untuk mengelak daripada diganggu netizen yang tidak bertanggungjawab.