Tahanan kanak-kanak: KDN lihat alternatif kepada depoh tahanan

Tan Sri Muhyiddin Yassin - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Tan Sri Muhyiddin Yassin - FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat terdapat keperluan bagi mengadakan alternatif kepada depot tahanan untuk kanak-kanak warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini untuk mengadakan projek rintis bagi alternatives to detention (ATD) (alternatif untuk penahanan).

"Tetapi ini masih di peringkat perbincangan, pokoknya ialah sama ada kita ada sejumlah peruntukan yang agak besar untuk tentukan setiap tempat tahanan itu diadakan kawasan lain di bawah jagaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Ini kerana mereka lebih pakar menjaga kanak-kanak, kami (agensi KDN) penguatkuasaan," katanya menjawab soalan tambahan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) sama ada Malaysia akan mengikuti negara seperti Indonesia dan Thailand yang tidak lagi menahan kanak-kanak di depot Imigresen, sebaliknya diletakkan di rumah perlindungan ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhyiddin berkata pada masa ini, kementeriannya telah meminta pihak Imigresen untuk mendahulukan penyelesaian kes melibatkan kanak-kanak berbanding kes-kes lain supaya mereka tidak perlu berada lama di depot tahanan.

"Ini SOP (Prosedur Operasi Standard) baharu, kami beri perhatian selesaikan kes melibatkan kanak-kanak dahulu sebelum kes lain," katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kes penahanan melibatkan kanak-kanak akan dibawa ke depot tahanan untuk mengelakkan mereka ditinggalkan tanpa pengawasan orang dewasa.

Beliau berkata bagi kanak-kanak yang berusia kurang daripada 12 tahun, mereka akan ditempatkan bersama ibu, bapa atau penjaga mengikut jantina.

Artikel Berkaitan:

“Proses pengesahan dan penyediaan dokumen perjalanan oleh Perwakilan Asing dilaksanakan semasa tempoh menunggu sebelum penghantaran pulang seseorang warganegara asing ke negara asal.

"Kanak-kanak ini akan dihantar pulang bersama ibu, bapa atau penjaga setelah mempunyai tiket perjalanan pulang, dokumen perjalanan dan mendapat keputusan kes daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk diusir pulang ke negara asal," katanya.

Tambahnya, depot tahanan seperti Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil mempunyai fasiliti yang sesuai untuk kanak-kanak seperti katil, ruang bermain (taska) dan taman permainan.- Bernama