Kajian penubuhan badan tunggal jaga sempadan dilaksana

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kajian Cadangan Penubuhan Badan Tunggal Menjaga Sempadan Negara dan Pintu-Pintu Masuk Termasuk Pelabuhan-Pelabuhan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kiri).- Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kajian Cadangan Penubuhan Badan Tunggal Menjaga Sempadan Negara dan Pintu-Pintu Masuk Termasuk Pelabuhan-Pelabuhan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Turut hadir Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kiri).- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kajian Cadangan Penubuhan Badan Tunggal Menjaga Sempadan Negara dan Pintu-Pintu Masuk Termasuk Pelabuhan-Pelabuhan.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat secara dasarnya bersetuju agar kajian cadangan penubuhan badan tunggal menjaga sempadan negara dan pintu-pintu masuk termasuk pelabuhan-pelabuhan dilaksanakan memandangkan ia relevan dengan situasi masa kini.

"Kajian perlu mengambil kira kesemua keperluan seperti kewangan, sumber manusia, logistik dan akta-akta yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan kajian ini dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Dalam Negeri yang bertindak sebagai urus setia.

"Skop kajian meliputi tiga domain iaitu darat, udara dan laut dan fokus kajian pada peringkat ini adalah domain darat. Kajian akan berakhir pada pertengahan tahun hadapan.

"Berdasarkan hasil dapatan awal terdapat tiga cadangan opsyen badan tunggal yang boleh dilaksanakan iaitu Selaras dan Integrasi (konsep reformatif); Baharu (konsep transformatif); dan Gabungan (konsep transformatif).

"Badan tunggal yang dicadangkan akan memudahcara perdagangan dan pada masa sama meningkatkan penguatkuasaan, kawalan keselamatan dan koordinasi antara agensi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu lagi, isu kesesakan dan cabaran pengurusan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor akan diatasi dengan pelaksanaan langkah pendek dan panjang.

"Mesyuarat telah memutuskan pelaksanaan langkah pendek seperti berikut:

a) Pembukaan semula kaunter Malaysia Automated Clearance System di KSAB pada 19 Jun 2019; b) Perolehan tender bagi MACS bernilai RM9 juta dijangka selesai pada akhir Disember 2019; c) Memobilisasi pegawai bertugas di kaunter tidak sesak ke kaunter yang lebih sesak; d) Pembukaan laluan kontra di laluan kereta ketibaan; e) Mewajibkan kerja lebih masa semasa pertukaran syif (7 pagi - 8 pagi); dan f) Pembukaan penuh kaunter motosikal Mbike.

"Mesyuarat juga telah memutuskan langkah jangka panjang seperti berikut:

a) Penambahan bilangan kaunter MBike bagi motosikal keluar dari Malaysia; b) Pengecualian biometrik bagi pelawat yang keluar; c) Pengisian perjawatan Jabatan Imigresen Malaysia pada kadar 99 peratus; d) Kerjasama bilateral Malaysia-Singapura bagi single clearance; e) Memperluas penggunaan auto-gate kepada semua pelawat asing; f) Penambahan mesin pengimbas Kastam; g) Penambahan bilangan kaunter lori di KSAB menjadikan jumlah yang setara dengan Tuas; h) Penggunaan kaunter hybrid; dan i) Pembangunan Immigration Integrated System (IIS) dengan ciri-ciri automasi (automation).