'Kepulangan' Ahmad Zahid cetus pelbagai reaksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - ‘Kepulangan’ semula Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO Ahad lepas telah mencetuskan pelbagai reaksi - ada suka, ada yang tidak suka.

Ada pihak berpendapat penamatan cuti Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sejak 18 Disember tahun lepas akan menyumbang secara positif kepada parti tetapi ada pula yang menyifatkan sebaliknya, tidak kurang juga yang berpendapat adalah lebih baik beliau terus bercuti sehingga selesai 87 kes mahkamahnya selain ada pula yang meminta beliau terus meletakkan jawatan.

Bendahari Bersatu Selangor, Mohd Shaid Rosli berkata kepulangan tersebut dijangka akan menyebabkan UMNO berpecah kepada dua kumpulan membabitkan pasukan Ahmad Zahid dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO sebelum ini.

Mohd Shaid, yang juga ADUN Jeram berkata ini sekali gus memudahkan Pakatan Harapan (PH) meraih kemenangan secara keseluruhannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid mengumumkan kembali menggalas jawatan Presiden UMNO dan menamatkan cuti berkuat kuasa 30 Jun dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Bagan Datuk pada hari tersebut.

Ahmad Zahid memenangi jawatan presiden pada pemilihan parti itu Julai lepas dan telah memberi kepercayaan kepada timbalannya, Mohamad untuk menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO semasa bercuti.

Nada yang sama dilontarkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar yang percaya kepulangan Ahmad Zahid tidak akan memberi impak kepada PH sebaliknya mungkin membawa pertentangan dalaman UMNO.

“Tiada impak pada PH. Apa yang dilihat, hanya kesan pertentangan dalaman UMNO. Nampak macam ada unsur agar Ahmad Zahid terus bercuti atau letak jawatan. Kerana mereka rasakan, (Ahmad Zahid) yang didakwa dengan kes besar di mahkamah, akan beri kesan tidak baik kepada parti,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata kepulangan Ahmad Zahid hanya akan membuka parut lama UMNO seperti masalah dalaman yang akan mengganggu perjalanan parti tersebut pada ketika ini dan menuju PRU kelak.

"Saya rasa kepulangan mungkin akan membawa perpecahan dalaman parti,” katanya.

Fahmi percaya kes mahkamah yang dihadapi Ahmad Zahid ketika ini turut akan memberi kelebihan kepada PH.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad pula dilaporkan berkata pengumuman Ahmad Zahid kembali menerajui UMNO akan menyebabkan pemulihan UMNO yang sedang berlaku bukan sahaja akan terbantut, malah akan mundur ke belakang.

Mengulas mengenai pengumuman Ahmad Zahid itu, timbalan presiden UMNO Mohamad dilapor berkata sememangnya Presiden UMNO itu patut kembali bertugas kerana parti perlu diuruskan bersama khasnya dalam menghadapi PRU15.

Sementara itu, mengenai kemungkinan wujudnya dua pasukan dalam UMNO melibatkan Team AZH (Ahmad Zahid Hamidi) dan Team Tok Mat (Mohamad Hasan), seorang penganalisis politik, Prof Dr Zaid Ahmad berkata Ahmad Zahid berdepan cabaran mewujudkan penyatuan dan keharmonian yang telah wujud sejak beliau bercuti enam bulan lepas.

Profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata ini kerana akan ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan Ahmad Zahid khasnya ekoran pelbagai kes di mahkamah yang dihadapi beliau yang perlu ditangani sebelum boleh mengemudi parti dan ahli selain meneruskan kerjasama dengan Pas.

Geostrategis dan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan berkata pengumuman Ahmad Zahid itu juga pastinya ada kaitan dengan persidangan UMNO Bahagian seluruh negara bermula 15 Jun sehingga 15 Ogos depan yang menjadi kayu pengukur tahap sokongan akar umbi terhadapnya.

Ketua UMNO Tebrau Datuk Maulizan Bujang berkata hanya masa dan keadaan akan menentukan sama ada kepulangan Ahmad Zahid diterima anggota parti, rakyat atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau Syed Atif Abu Bakar mempersoalkan tindakan penamatan cuti apabila Ahmad Zahid sebelum ini pernah membuat penjelasan bahawa beliau akan bercuti sehingga berlakunya peristiwa besar dalam negara mengikut kasyaf para ulama.

“Pergerakan ini memohon agar dapat diperjelaskan peristiwa besar apakah yang telah berlaku di dalam negara sehingga membawa kepada keputusan Presiden menamatkan cuti,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pergerakan juga berharap agar kepimpinan parti dapat mempertimbangkan cadangan supaya tempoh cuti tahunan untuk pemegang-pemegang jawatan di semua peringkat dapat dihadkan secara bertulis bagi membolehkan jawatan seseorang pemimpin dilucutkan sekiranya tidak kembali bertugas selepas sesuatu tempoh.

“Adalah amat tidak bertanggungjawab untuk seseorang pemimpin bercuti untuk tempoh sesuka hatinya dan kembali semula secara mengejut dengan sesuka hatinya juga tanpa dipandu oleh peraturan yang jelas,” tambahnya.

Dalam pada itu, seorang exco sayap pergerakan UMNO yang tidak mahu didedahkan namanya berkata beliau dimaklumkan terdapat gerakan untuk menolak kepulangan semula Ahmad Zahid termasuk usul pada pemlihan bahagian tertentu agar bekas timbalan perdana menteri itu meletakkan jawatan sebagai presiden demi keharmonian parti. - Bernama