Kutipan zakat capai sasaran ditetapkan

Amran (dua dari kanan) menukar dokumen perjanjian dengan Mohammad Faiz dalam majlis diadakan di Ibu Pejabat ZPP pagi tadi.
Amran (dua dari kanan) menukar dokumen perjanjian dengan Mohammad Faiz dalam majlis diadakan di Ibu Pejabat ZPP pagi tadi.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Walaupun berdepan kontroversi mengenai penyampaian bantuan kit zakat oleh wakil rakyat bukan Islam kepada asnaf pada Ramadan lalu, namun Zakat Pulau Pinang (ZPP) bersyukur kerana isu itu tidak menjejaskan kutipan zakat di negeri ini malah mencapai sasaran yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, walaupun menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak mengenai isu berkenaan namun pihaknya mengambil positif terhadap pandangan yang dikemukakan orang ramai dan akan memperbaiki sistem penyampaian bantuan berkenaan pada masa hadapan.

Menurutnya, perkara ini telah dibincangkan pada mesyuarat minggu lalu dalam mencari mekanisme yang lebih sesuai supaya tidak menimbulkan lagi polemik dan isu-isu yang sensitif.

"Kita ambil maklum mengenai perkara ini malah kita tahu isu penyampaian bantuan zakat ini oleh bukan Islam sangat sensitif walaupun telah dinyatakan dari segi hukum oleh Mufti Pulau Pinang sebelum ini.

"Apa yang berlaku sangat-sangat di luar kawalan kami dan kesannya memang ada pada pungutan zakat namun kami bersyukur kerana kutipan zakat fitrah yang dilakukan tahun ini memberangsangkan malah mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian diantara ZPP dan Malaysia Professional Accountancy Center (MyPAC) di sini.

Hadir sama Pengerusi MyPAC, Datuk Mohammad Faiz Azmi.

ZPP sebelum ini menyasarkan sebanyak RM5.2 juta kutipan zakat fitrah diperoehi pada tahun ini yang akan melibatkan lebih 700,000 pembayar.

Ditanya mengenai jumlah keseluruhan zakat fitrah yang berjaya dikutip tahun ini, Amran berkata pihaknya masih lagi dalam proses pengiraan berikutan terdapat beberapa masjid yang belum membuat penyerahan namun mengikut rekod setakat ini ia telah mencapai RM5.2 juta.

Artikel Berkaitan:

Selain zakat fitrah, Amran berkata, kutipan bagi zakat harta juga meningkat sebanyak RM1 juta daripada RM18 juta tahun lalu kepada RM19 juta tahun ini.

Sebelum ini beberapa pihak melahirkan rasa tidak puas hati dan curiga mengenai penglibatan pemimpin dan wakil rakyat bukan Islam yang menyampaikan bantuan kit zakat kepada asnaf di negeri ini.

Bagi mereka masih ramai lagi pemimpin atau wakil dalam kalangan umat Islam yang layak untuk menyampaikan bantuan zakat dan sepatutnya urusan zakat tidak perlu campur tangan orang bukan beragama Islam.

Isu ini dibangkitkan apabila tular di laman sosial gambar beberapa pemimpin dan wakil rakyat bukan beragama Islam yang dilihat menyampaikan sumbangan kit zakat kepada asnaf.

Wakil rakyat yang dimaksudkan ialah ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit ; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto yang menyampaikan kit bantuan zakat didalam ruang solat sebuah masjid.