Metodologi Pakar Forensik Patologi HKL salah: Dr Shahrom

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perunding Kanan Forensik Patologi United Kingdom, Profesor Dr Shahrom Abd Rahman menyifatkan metodologi yang diguna pakai dalam eksperimen menentukan kecederaan dialami anggota bomba dan penyelamat (JBPM) Muhammad Adib Mohd Kassim oleh Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur adalah salah.

Pada hari ke 38 perbicaraan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, Dr Shahrom berkata, laporan forensik yang dilakukan Dr Ahmad Hafizam Hasmi juga tidak lengkap.

"Kalau hendak buat eksperimen kita tak boleh buat suka-suka sahaja.

Saya tengok laporan siasatan forensik ini pun tidak lengkap.

Kalau pegawai perubatan lakukan tidak mengapa tapi ini Pakar Patalogi," katanya.

Menurutnya, dalam kes ini persoalan ialah adakah objek tersebut bersentuhan dengan si mati.

"Jadi kita perlu cari bahagian paling mungkin sekali bersentuhan," katanya.

Meskipun tidak menjalankan bedah siasat terhadap mayat mangsa, beliau turun padang untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Laporan dan keterangan (Dr Ahmad Hafizam) berubah-ubah atas alasan mahu bantu mahkamah.

Mula-mula kata bahu jalan dekat sini (eksibit I113). Tiba-tiba keluar pula punca di bahu jalan yang lain (eksibit I114).

Nasib baik saya sudah buat (eksprimen) di dua-dua tempat.

Justeru, Dr Shahrom yang juga bekas Penyelia Dr Ahmad Hafizam menolak bahu jalan sebagai punca kecederaan yang dialami Muhammad Adib sehingga mengakibatkan kematian. "100 peratus saya tolak bahu jalan sebagai punca. Tak masuk akal,” katanya.

Terdahulu pada awal prosiding, Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang menggantikan peguam Syazlin Mansor mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan pihaknya mengguna pakai segala keterangan oleh Dr Shahrom sebelum ini.

"Saya mohon mahkamah merekodkan," katanya.

Muhammad Adib parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.