Pembantu ladang didakwa bunuh kekasih isteri

Abdul Rahman dibawa ke Mahkamah Majistret Parit untuk didakwa kesalahan membunuh duda OKU, hari ini.
Abdul Rahman dibawa ke Mahkamah Majistret Parit untuk didakwa kesalahan membunuh duda OKU, hari ini.
A
A
A

PARIT - Seorang pembantu ladang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit hari ini atas pertuduhan membunuh duda orang kurang upaya (OKU), bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Abdul Rahman Abu Bakar, 43, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Abdul Rahman didakwa atas kesalahan bunuh, menyebabkan kematian Badrul Hisham Ngah Aziz, 42.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di Jalan Kenanga 8, Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah antara jam 2 hingga 2.45 petang pada 23 Jun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Zulkiflee Mohd Ghani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan penyerahan laporan bedah siasat mangsa.

Dalam kejadian bermotifkan cemburu itu dipercayai berlaku apabila tertuduh mengesyaki mangsa yang merupakan duda anak tiga itu menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya.

Artikel Berkaitan:

Mangsa maut akibat dibelasah tertuduh menggunakan sebatang kayu yang berpaku selepas menyerang kereta Proton Wira yang dinaiki mangsa bersama isterinya.

Suspek turut bertindak agresif apabila cuba menendang dua jurugambar akhbar ketika dia dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Batu Gajah pada 24 Jun lalu.