Tun M jangan pandang sinis Rafizi

Syed Badli Shah Syed Osman
Syed Badli Shah Syed Osman
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa tidak memandang sinis pandangan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai penurunan populariti beliau yang didakwa hampir 20 peratus.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, ia berikutan pandangan itu melibatkan prestasi kerajaan persekutuan.

Menurutnya, Mahathir perlu menerima pandangan Rafizi sebagai sesuatu yang positif kerana kajian dilakukan mampu membantu kerajaan dalam usaha memperkukuh sokongan rakyat khususnya kaum Melayu.

Semua pihak katanya, perlu berlapang dada menerima pandangan Rafizi sebagai sesuatu yang boleh memperbaiki prestasi Kerajaan PH.

“Hasil kajian tunjukkan terdapat kebimbangan sokongan Melayu terhadap kerajaan PH dan perkara ini perlu ditangani dengan bijak.

“Pandangan Rafizi berdasarkan kaji selidik bulanan yang dijalankan mendapati populariti Perdana Menteri menjunam sebanyak 19 peratus daripada 72 peratus pada bulan Jun lalu kepada 53 peratus dua minggu lalu,”katanya

Syed Badli berkata, penurunan populariti bukanlah perkara baik untuk kerajaan PH.

Menurutnya, kerajaan perlu lebih fokus dalam menunaikan janji kepada rakyat khususnya dalam memperkemas keselesaan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Saya berpandangan isu penghijrahan pimpinan Umno secara beramai-ramai ke PH menyumbang kepada kadar penurunan populariti tersebut.

“Rakyat buat keputusan berani tolak rejim Umno dan BN pada pilihan raya lalu. Tentunya dengan menerima masuk wakil rakyat Umno cetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat bahawa PH mengkhianati mandat diberi,”katanya.

Beliau berkata, Majlis Presiden PH perlu membuat ketetapan berkaitan isu penghijrahan Umno untuk meredakan kebimbangan umum.

Terdahulu, akhbar melaporkan kaji selidik bulanan dijalankan Invoke Malaysia (Invoke) mendedahkan populariti Mahathir dan kerajaan Persekutuan sejak PH mengambil alih menjunam, berbanding ketika di awal pentadbiran.

Rafizi dalam kenyataannya berkata, kaji selidik dua minggu lalu menunjukkan populariti Dr Mahathir menjunam dan penurunan mendadak dicatat hampir 20 peratus.

Kajian dibuat melibatkan responden daripada ketiga-tiga kaum iaitu Melayu daripada 66 peratus kepada 45 peratus, Cina (87 peratus kepada 65 peratus) dan India (84 peratus kepada 64 peratus).

Bagaimanapun, Dr Mahathir dalam kenyataannya menyindir Rafizi dengan berkata bekas Ahli Parlimen Pandan itu disifatkan sebagai individu yang pandai melihat apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

“Rafizi memang tahu apa akan jadi. Dia punya prediction (jangkaan) PRU14 pun sangat tepat,” katanya.