Tak setuju pembinaan jalan kuari: Penduduk lapor polis

Mohd Sabri dua kanan bersama penduduk menunjukkan laporan polis dibuat
Mohd Sabri dua kanan bersama penduduk menunjukkan laporan polis dibuat
A
A
A

BALING - Seramai 14 wakil pemilik tanah Kampung Sungai Limau dan sekitar membuat laporan polis di Balai Polis Kupang bagi membantah pengambilan tanah mereka sebagai jalan kuari di Gunung Pulai, hari ini.

Pengerusi Majlis Bertindak Bantahan Kuari Gunung Pulai, Mohd Sabri Mahmud berkata, laporan polis itu mewakili lebih 100 pemilik tanah melibatkan 29 lot tanah bergeran.

Menurutnya, pemilik tanah akan terus menentang usaha mengambil tanah berkenaan kerana ia tiada manfaat kepada penduduk sekitar.

"Apa yang kami tahu, kuari beroperasi di Bukit Puyuh, Baling banyak mendatangkan bencana kepada alam sekitar, sumber air dan kediaman penduduk.

"Jika operasi kuari dijalankan di Gunung Pulai, perkara sama dan mungkin lebih buruk akan berlaku kepada semua orang kampung," katanya pada sidang media di pekan Kupang, hari ini.

Paling membimbangkan katanya, jika usaha pengambilan tanah diteruskan, ia akan menyebabkan penduduk mengambil tindakan agresif menghalang atau mencederakan pekerja pengambilan.

Sementara itu, Balai Polis Baling turut menerima laporan sama oleh Persatuan Penduduk Dalam Wang (PDDW).

Setiausaha PPDW, Mohd Zaid Ab Mokhti berkata, operasi kuari di Gunung Pulai bakal merosakkan ekosistem Gua Sireh yang terletak pada jarak 1.91 kilometer sahaja dari lokasi kuari.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penduduk dan alam sekitar di kawasan Kampung Padang Che Mas dan Kampung Dalam Wang diancam habuk dan debu.

"Antara yang dibimbangi batu-batu gunung di kawasan Gua Sireh jatuh menimpa penduduk atau pengunjung," katanya.

Untuk rekod 29 lot tanah penduduk diwartakan kerajaan negeri sebagai jalan keluar masuk operasi kuari dan operasi diluluskan kepada Syarikat YIKED Holdings Sdn Bhd.