Derita warga emas yang sering didatangi 'pembunuh'

Abdullah ketika menerima kunjungan Wan Yusrizal (kanan) di rumahnya di Banggol Tok Jiring.
Abdullah ketika menerima kunjungan Wan Yusrizal (kanan) di rumahnya di Banggol Tok Jiring.
A
A
A

KUALA NERUS - Selepas 25 tahun bertarung dengan penyakit Parkinson, Abdullah Mamat, 60, melalui ujian lebih getir apabila mula dihantui halusinasi akibat penyakit itu sejak awal tahun ini.

Isterinya, Hasnah Mohd Nasir, 53, berkata, keadaan suaminya membimbangkan mereka sekeluarga.

"Dia kata ada orang datang nak bunuh dia. Akibatnya, suami jadi takut.

"Perkara itu sangat mengganggu fikiran dia," katanya hari ini.

Jelasnya, ekoran itu, suaminya itu tidak boleh ditinggalkan sendirian.

"Kami tak boleh ke mana-mana. Kami berdoa supaya penyakit suami segera sembuh," katanya lagi.

Hasnah berkata, penderitaan itu sebenarnya lebih dirasai ahli keluarga berbanding pesakit itu sendiri namun keluarga itu reda dengan ujian ALLAH SWT dan berharap ketua keluarga mereka dapat kembali pulih.

Sebelum itu, pasangan suami isteri dari Banggol Tok Jiring itu menerima lawatan Pegawai Ahli Parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Shafi’i yang mewakili Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Artikel Berkaitan:

Wan Yusrizal dan petugas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus turut menyampaikan bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan bagi meringankan beban yang ditanggung pasangan itu.

Difahamkan Parkinson adalah sejenis penyakit yang mampu melemahkan kebolehan fungsi tubuh dan mental pesakit, malah ia menjadi semakin kronik seiring dengan peredaran masa.