Pencemaran udara: Pemantauan diperluas kepada 90 premis

Mohd Khuzzan (tengah) pada sidang media di Menara Aqabah hari ini.
Mohd Khuzzan (tengah) pada sidang media di Menara Aqabah hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Tindakan pemantauan dan penyiasatan industri yang melanggar kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling di daerah ini diperluas kepada 90 premis berbanding 72, Ahad lalu.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, perluasan usaha itu juga turut menyaksikan terdapat pertambahan kompaun serta perintah tahan operasi yang dikenakan terhadap semua premis berkenaan.

“Menerusi usaha ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan 21 kompaun lagi iaitu pertambahan daripada 40 kompaun sebelum ini. Satu notis arahan penambahbaikan sistem kendalian bahan kimia turut dikeluarkan.

“Perintah tahan operasi juga meningkat kepada enam kes berbanding tiga seperti dilakukan pada Ahad lalu,” katanya pada sidang media di Menara Aqabah di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Khuzzan berkata, kompaun berhubung sisa (efluen) perindustrian yang dikeluarkan sepanjang operasi masih kekal 10.

Dalam pada itu, menurutnya, sebahagian pihak industri di kawasan itu turut bersetuju untuk membekalkan alat pengesan gas di semua 111 sekolah rendah dan menengah yang ada.

“Usaha ini adalah hasil daripada pertemuan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bersama pihak industri yang dilakukan baru-baru ini.

“Selain membekalkan alat pengesan gas, kesemua pihak industri ini turut bersetuju untuk menjadikan semua sekolah ini sebagai sekolah angkat sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menubuhkan 18 pasukan khusus untuk membantu memberikan rawatan awal psikologi kepada sekolah-sekolah terjejas dalam kejadian pencemaran udara itu.