X

Kindly register in order to view this article
!

Pas parti ‘Islam liberal’

A
A

CUBA tanya soalan-soalan ini: Wujudkah 'parti politik' pada zaman Kesultanan Melaka yang dikatakan kegemilangan tamadun Islamik? Kalau ada, apa nama parti-parti politik itu? Berapa kali PRU?

Hakikatnya sistem politik Kesultanan Melaka ialah sistem Monarki. Memang tiada konsep parti politik, tiada pilihan raya, tiada Parlimen, tiada pengasingan kuasa kepada eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Maknanya Sultan Melaka ialah pemerintah tertinggi politik dan juga hakim tertinggi. Itulah sebab Sultan Melaka boleh rampas isteri orang dan terlepas daripada sebarang hukuman hudud kerana dia ialah hakim tertinggi.

Tapi cuba tanya apa pula nama sistem yang kita sedang praktikkan sekarang yang ada parti politik, pilihan raya, Parlimen, pengasingan kuasa kepada eksekutif, legislatif dan kehakiman? Ini adalah sistem liberal demokrasi yang diperkenalkan oleh penjajah barat kepada kita. Mengapa ada dua perkataan iaitu liberal dan demokrasi?

Demokrasi maknanya suara rakyat diutamakan. Barat telah melalui pengalaman pahit dengan Sistem Teokratik mereka yang diperintah oleh tuan guru gereja yang mendakwa mereka ini wakil tuhan. Para tuan guru agama ini memberi hukum wajib sokong gereja mereka sendiri. Pejuang demokrasi barat pun menentang hukum wajib ini yang memberhalakan tuan guru agama dengan mengemukakan ideologi baru iaitu suara rakyat mengatasi suara tuan guru agama! Maka ringkasnya, Sistem Teokrasi dijatuhkan oleh arus demokrasi iaitu suara rakyat.

Liberal pula bermakna bebas. Bebas daripada apa? Bebas daripada penindasan pemerintah atas individu. Cuba tanya adakah Perdana Menteri boleh memaksa anda memilih parti politiknya dan mengugut penjara jika anda tidak mengundi partinya? Kalau anda kata tidak, bermakna anda ini liberal sebab anda memperjuangkan hak kebebasan individu untuk memilih. Liberalisme mengutamakan kebebasan individu. Demokrasi mengutamakan suara rakyat, suara kolektif.

Liberal demokrasi merujuk kepada sistem politik yang mengutamakan suara rakyat dan kebebasan individu. Kadang-kadang demokrasi bercanggah dengan liberalisme bila suara majoriti rakyat menindas kebebasan individu. Bayangkan suara majoriti rakyat menyokong perkahwinan LGBT. Adakah anda memiliki hak kebebasan individu untuk menentang? Kalau anda kata ya, anda adalah liberal kerana memperjuangkan hak kebebasan anda sebagai individu. Liberalisme akan bercanggah dengan demokrasi bila suara majoriti menindas suara individu.

Di Malaysia sistem politik liberal demokrasi di perkenalkan oleh barat. Sistem kita berbeza dengan Amerika Syarikat kerana kita ada raja. Maka liberal demokrasi yang diamalkan oleh kita adalah versi Raja Berperlembagaan.

Maknanya kuasa Raja dikawal oleh Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan ini juga diperkenalkan oleh penjajah barat. Maka, sistem politik liberal demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan adalah hasil falsafah barat.

Bila kita memahami falsafah politik, kita akan lebih memahami fahaman liberalisme yang dibawa oleh Pas. Usul pertama Pas baru-baru ini pada Muktamar Tahunan Ke- 65 adalah mengukuhkan institusi Raja-Raja Melayu. Untuk pelajar falsafah politik, dia patut tanya apa makna 'mengukuhkan' institusi Raja-Raja Melayu? Adakah ia bermakna mengembalikan kuasa Raja kepada sistem monarki Kesultanan Melaka?

Jawapan Pas kemungkinan besar tidak. Cuba tanya Pas mengapa tidak kalau ia benar-benar memperjuangkan usul pertama ini dan menentang liberalisme habis-habisan? Kalau Pas benar-benar mengukuhkan institusi raja, maka sepatutnya Pas kembalikan sistem monarki Kesultanan Melaka.

Hakikatnya ialah liberalisme adalah nyawa Pas. Kalau kuasa raja benar-benar dikukuhkan sepenuhnya, parti Pas tidak akan wujud lagi! Secara retorik, sepatutnya Pas keluarkan hukum wajib sokong mindset liberal versi Raja Berperlembagaan yang mengehadkan kuasa raja. Pas mahu amalkan budaya liberal yang membebaskannya dari kuasa mutlak Raja.

Saya menyokong usul pertama Pas yang mengukuhkan lagi ideologi liberalisme di Malaysia. Pondok Pas perlu jujur mengiktiraf roh liberalisme dalam perjuangan partinya dan betapa Pas terhutang budi kepada falsafah barat! Kita marah bila barat sembunyikan jasa-jasa Tamadun Muslim dulu kepada mereka. Mengapa kita pula sembunyikan jasa-jasa para pejuang liberal barat kepada kita dan mendakwa kita menentang liberalisme habis-habisan?


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!