Menteri gesa kilang segera sediakan alat kesan gas di sekolah

Bee Yin pada sidang media di Pasir Gudang hari ini.
Bee Yin pada sidang media di Pasir Gudang hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Pihak industri kimia di Pasir Gudang perlu menyediakan alat pengesan gas (multi gas detector) kepada 111 sekolah di kawasan itu secepat mungkin.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, keputusan itu telah dimaklumkan kepada pihak industri berkaitan dalam pertemuan petang tadi.

"Kilang-kilang (kimia) perlu sediakan alat pengesan gas dalam masa yang terdekat. Ini mandatori.

"Setiap sekolah diangkat oleh satu atau dua buah kilang di mana mereka perlu beri alat pengesan gas kepada sekolah untuk bacaan gas secara berterusan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bee Yin berkata, esok kesemua 111 sekolah akan memiliki alat yang disewakan kepada kilang-kilang tersebut.

Dalam pada itu beliau berkata, kawasan Pasir Gudang padat dengan kilang dan perumahan yang jaraknya terlalu hampir.

"Tempat ini sangat padat, kilang sangat dekat dengan sekolah, ada yang 300 meter sahaja. Saya beritahu kerajaan negeri, perancangan di Pasir Gudang perlu lebih lestari. Tak boleh lagi ada kilang-kilang kimia.

"Kilang yang sedia ada perlu dirujuk semula, buat analisis semula apa yang perlu kita lakukan untuk turunkan pelepasan (gas) mereka.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah menyeru agar industri bertanggungjawab dengan pelepasan, pengeluaran dan pengendalian sisa mereka dengan lebih baik, jika tidak kerajaan akan mengambil tindakan lebih tegas dan drastik," katanya.

Menyentuh soal perkembangan terkini mangsa pencemaran di Pasir Gudang, Bee Yin memaklumkan empat lagi pelajar dirujuk ke Hospital Sultan Ismail.