Nelayan bantah pencerobohan penguat kuasa Indonesia

Eng Soon (tengah) mewakili wakil kerajaan mengadakan sesi dialog berhubung pencerobohan penguat kuasa Indonesia yang menahan bot nelayan tempatan hingga menjejaskan pendapatan mereka di Hutan Melintang, hari ini.
Eng Soon (tengah) mewakili wakil kerajaan mengadakan sesi dialog berhubung pencerobohan penguat kuasa Indonesia yang menahan bot nelayan tempatan hingga menjejaskan pendapatan mereka di Hutan Melintang, hari ini.
A
A
A

HUTAN MELINTANG - Lebih 60 pengusaha bot nelayan meminta kerajaan segera campur tangan berhubung tindakan kapal pengawas perikanan Indonesia yang menahan bot-bot nelayan di perairan negara hingga mengakibatkan kerugian lebih RM20 juta.

Setiausaha Persatuan Pusat Perusahaan-Perusahaan Ikan Malaysia, Jeanne Khor Hooi Chin berkata, sebanyak 17 bot milik nelayan dari Hutan Melintang, Bagan Panchor, Pantai Remis dan Pulau Pangkor telah ditahan bersama tekong dan awak-awak sejak enam bulan lalu.

“Sehingga kini kami masih tidak tahu akan nasib pekerja-pekerja kami yang ditahan bersama bot berkenaan. Lebih mengecewakan, kapal dari Indonesia itu menahan di dalam perairan kita.

“Kejadian ini menyebabkan pekerja kami trauma untuk turun ke laut dan kami sendiri berasa tidak selamat meskipun bot kami berada dalam negara,” katanya.

Hooi Chin
Hooi Chin

Hooi Chin ditemui pada sesi dialog komuniti nelayan bersama wakil kerajaan diketuai Pegawai Khas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Loh Eng Soon, di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya menggesa kerajaan Indonesia membebaskan semula bot-bot nelayan tempatan yang ditahan di negara itu.

“Kami membantah tindakan pencerobohan kapal penguat kuasa Indonesia yang menahan bot-bot kami terutama di perairan berhampiran Pulau Jarak.

Artikel Berkaitan:

“Diharapkan pihak kerajaan melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau kementerian terlibat dapat mengambil tindakan tegas mengenai pencerobohan kapal-kapal Indonesia ini,” katanya.

Pengusaha bot dikenali sebagai Kee, 35, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM1 juta apabila sebuah botnya ditahan dua tahun lalu.

“Saya mempunyai dua bot dan apabila sebuah bot ditahan tanpa sebab, pendapatan kami turut terjejas. Jika bot yang ada itu rosak, kami tidak boleh turun ke laut.

“Isu ini sudah lama tapi sampai sekarang tiada sebarang tindakan. Mereka (Indonesia) seolah-olah tidak takut akan undang-undang sedia ada,” katanya.