Piala Dunia 2034: Tak mungkin 10 negara ASEAN hos bersama

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Kesemua 10 negara anggota ASEAN tidak mungkin boleh menjadi hos bersama Piala Dunia 2034, jelas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hamidin berkata idea tersebut pasti mendapat tentangan di peringkat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) terutamanya daripada pasukan gergasi seperti Korea Selatan dan Jepun, memandangkan jumlah berkenaan berpotensi menafikan hak mereka bertanding pada kejohanan itu.

Beliau berkata proses bidaan melibatkan tiga atau sekurang-kurangnya empat negara, dilihat paling ideal sekiranya ASEAN serius ingin menganjurkan acara bola sepak terbesar di dunia itu.

“Tidak mungkin 10 negara boleh membida (menjadi hos bersama)... mungkin tiga atau empat negara sahaja yang sesuai, kerana selebihnya perlu diberikan kuota kepada negara lain.

“Perlu ingat apabila jadi hos bersama Piala Dunia ini, sebagai contoh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexcio bagi edisi 2026, automatik mereka akan bertanding. Di ASEAN berbeza sedikit dan tidak mungkin sekiranya 10 negara boleh membida sekali (menjadi hos bersama).

“Ini kerana jika bida, mereka nak juga bertanding dan slot kita (AFC) selepas edisi 2026 adalah lapan campur satu (hos). Sekiranya lima atau enam negara pun, Jepun dan Korea Selatan tidak akan benarkan dan tidak bersetuju. Itu yang saya faham,” katanya ketika ditemui pada Jamuan Hari Raya FAM di Wisma FAM di sini, hari ini.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, 23 Jun lepas, Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan o-cha berkata kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Khamis lepas, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan kerajaan Malaysia ketika ini berpegang teguh, mahu membida Piala Dunia 2034 bersama negara ASEAN lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hamidin berkata kerjasama yang baik antara kerajaan dan badan induk bola sepak negara itu amat penting dalam usaha membida kejohanan berprestij dunia itu.

Beliau berkata faktor kewangan memainkan peranan penting dan kerjasama antara kerajaan dan FAM adalah bagi memastikan Malaysia, menepati standard tinggi penganjuran Piala Dunia ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Apabila badan induk (bola sepak sesebuah negara) itu berminat maksudnya kerajaannya pun berminat kerana mana-mana negara nak membida perlukan sokongan daripada kerajaan. Bukan sahaja dari segi jumlah kewangan yang banyak, tetapi juga dari aspek kemudahan, keselamatan dan kesihatan pun mesti tepati standard FIFA.

“Mungkin itu (kewangan) tidak jadi masalah seperti kos diperlukan untuk membina atau menaik taraf stadium dan fasiliti lain. Jadi kedua-dua (kerajaan dan badan induk bola sepak) perlu ada kerjasama yang baik supaya dapat bergerak seiring,” katanya. - Bernama