Amanah tegur pemimpin edar borang keahlian di sekolah

Rakaman gambar tular menunjukkan Tarmizi menyaksikan seorang guru mengisi borang keahlian parti di sebuah sekolah di Perak Tengah dipersoalkan netizen. Gambar kecil, Asmuni.
Rakaman gambar tular menunjukkan Tarmizi menyaksikan seorang guru mengisi borang keahlian parti di sebuah sekolah di Perak Tengah dipersoalkan netizen. Gambar kecil, Asmuni.
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menyifatkan tindakan seorang pemimpinnya mengedarkan borang keahlian parti di dalam premis sekolah sebagaimana tular dalam media sosial semalam adalah tidak bijak.

Pengerusinya, Asmuni Awi berkata, tindakan itu sebenarnya adalah dilarang keras dalam parti kerana sudah pasti memberi implikasi negatif terhadap imej parti di kemudian hari.

Menurutnya, pemimpin berkenaan juga sudah ditegur pucuk kepimpinan Amanah negeri setelah tularnya gambar beliau menyerahkan borang keahlian parti untuk diisi seorang individu perempuan dipercayai seorang guru di dalam premis bilik guru di sebuah sekolah di Perak Tengah sejak semalam.

"Tindakan sebegini sudah pasti akan memberi kesan negatif terhadap Amanah dalam kalangan rakyat di kemudian hari ini.

"Walhal Amanah sebagai parti kerajaan negeri melarang aktiviti politik di premis awam, bahkan sektor swasta sekalipun bagi menghormati waktu bekerja.

"Namun sekiranya mana-mana parti politik termasuk parti pembangkang mengadakan program politik di dalam kawasan keramaian tidak formal seperti pasar malam, pusat membeli-belah dan program rumah terbuka, itu tiada masalah," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Asmuni turut menasihatkan kesemua ahli Amanah agar lebih bijak menjalankan sebarang urusan politik dengan orang awam supaya tidak memberi implikasi buruk kepada imej parti di kemudian hari.

Menurutnya, banyak kaedah dan cara pendekatan yang lebih efektif boleh dipraktikkan mereka dalam mendekati pengundi baharu pada masa kini.

Artikel Berkaitan:

"Jangan kita mengambil langkah terdesak seperti menjalankan program parti di premis awam semata-mata meraih sokongan politik pengundi, sedangkan tindakan sedemikian tidak disenangi mereka sebenarnya," katanya.

Semalam, netizen mempersoalkan tindakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Biro Komunikasi Amanah, Tarmizi Mohd Jam membawa borang keahlian parti ke sebuah sekolah untuk diisi keahliannya oleh guru.

Tindakan itu dianggap agak keterlaluan dan tidak beretika apabila parti politik dibawa masuk ke sekolah dan boleh menjejaskan nama baik kerjaya guru.

Beberapa keping gambar menunjukkan Tarmizi menyaksikan seorang guru mengisi borang keahlian parti menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak.