Keluarga kesal kisah Alan Kurdi difilemkan tanpa izin

Grafiti memaparkan imej pelarian kanak-kanak Syria, Alan Kurdi di Frankfurt am Main, Jerman. - Foto AFP
Grafiti memaparkan imej pelarian kanak-kanak Syria, Alan Kurdi di Frankfurt am Main, Jerman. - Foto AFP
A
A
A

MONTREAL - Ahli keluarga seorang kanak-kanak Syria yang menjadi simbol krisis migrasi Eropah selepas gambar mayatnya terdampar di sebuah pantai di Turki tersebar berasa kesal kisahnya difilemkan tanpa izin.

“Saya berasa patah hati,” kata ibu saudara Alan Kurdi, Tima Kurdi yang menetap di Port Coquitlam, berhampiran Vancouver kepada rangkaian berita CBC.

Alan Kurdi meninggal dunia pada tahun 2015 bersama beberapa ahli keluarga lain ketika melarikan diri dari Syria menuju ke Greece menaiki bot.

Gambar menyayat hati mayat anak kecil itu mencetuskan reaksi penuh emosi seluruh dunia dan memaksa Kesatuan Eropah membuka sempadannya buat sementara waktu untuk pelarian Syria.

Menurut Tima, tiada pihak meminta kebenaran keluarga untuk menghasilkan filem tentang anak saudaranya itu.

Berita mengenai filem tersebut diketahui daripada bapa kanak-kanak itu, Abdullah Kurdi yang menghubungi Tima dalam keadaan sedih.

“Saya tidak mampu membayangkan anak lelaki saya yang telah meninggal dunia ‘hidup kembali’ dalam filem,” ujar Abdullah yang kini menetap di Iraq.

CBC melaporkan, filem diberi judul ‘Aylan Baby (Sea of Death)’ itu sedang menjalani penggambaran di Turki, Aylan merupakan ejaan nama kanak-kanak itu dalam laporan berita sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut penulis dan pengarah Omer Sarikaya dari Turki, walaupun tema filem itu menyerupai kisah keluarga Kurdi namun ia mempunyai skop lebih luas termasuk krisis pelarian secara keseluruhan.

“Ia bertajuk ‘Aylan Baby,’ bukannya ‘Aylan Kurdi,’” katanya sambil menambah telah terlambat untuk menukar tajuk filem itu. - AFP