Lapan tindakan hadapi insiden di Pasir Gudang

Anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang melakukan pemeriksaan bacaan kualiti udara di kilang-kilang berhampiran kawasan Pasir Gudang baru-baru ini. - Gambar kecil: Prof Madya Mohd Fadhil Md Din
Anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang melakukan pemeriksaan bacaan kualiti udara di kilang-kilang berhampiran kawasan Pasir Gudang baru-baru ini. - Gambar kecil: Prof Madya Mohd Fadhil Md Din
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lapan tindakan perlu dilakukan untuk membantu mangsa dan petugas yang terlibat dalam insiden gangguan kesihatan di sekitar Pasir Gudang.

Pengarah Unit Kelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Ir Dr Mohd Fadhil Md Din berkata, tindakan pertama mengaktifkan sementara waktu kod merah atau zon risiko.

“Aktifkan sementara waktu kod merah ataupun zon risiko tinggi mengikut tempoh 24 jam sekitar radius 20 kilometer dari zon aktif lokasi pencemaran.

“Kedua, aktifkan perintah untuk pengosongan kawasan dalam risiko rendah hingga tinggi dan maklumat disalurkan terus kepada Jawatankuasa Bertindak dan Jawatankuasa Penduduk,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, tindakan ketiga adalah mengeluarkan garis panduan khas kepada penduduk setempat mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilaksanakan sekiranya terhidu apa-apa bahan yang mencurigakan.

"Tindakan keempat adalah mengehadkan petugas di kawasan bencana dengan memberikan pelepasan khas hanya kepada yang terlatih dan mempunyai kelengkapan khas ke lokasi kes.

“Kelima pula mengeluarkan arahan kepada pengilang atau pemproses bahan untuk menghentikan sementara waktu aktiviti dan jika perlu diwajibkan semua memberikan informasi atau maklumat khusus aktiviti harian kepada pihak berkuasa atau Jawatankuasa Bertindak," katanya.

Menurutnya,tindakan keenam wujudkan info grafik mengenai data pencemaran kepada orang awam melalui media malah tiada kompromi dan pihak masyarakat dimaklumkan secara telus mengenai punca dan data pencemaran.

Artikel Berkaitan:

"Yang ketujuh libatkan wakil-wakil daripada syarikat dan pemegang taruh yang terlibat secara langsung dalam zon aktif. Maklumat perlu disalurkan terus kepada mereka supaya ada satu sistem yang seragam.

“Kelapan, perlu ada pemantauan kualiti udara melibatkan agensi dan setiap data disalurkan ke Jawatankuasa Bertindak. Media perlu memaklumkan talian khas atau pegawai yang ditugaskan untuk kes ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pelajar kembali muntah, loya, pengsan

30 pelajar dari 15 sekolah dihantar ke klinik kesihatan

Penduduk Pasir Gudang berdepan risiko kanser: Pensyarah kimia