Perak ke final Piala FA 2019

Pemain Perak K Partiban (kiri) mengawal bola ketika bertemu pasukan Pahang pada saingan Separuh Akhir Kedua Piala FA Malaysia di Stadium Perak malam ini. Keputusan semasa Perak mendahului dengan 3-0. - FOTO BERNAMA
Pemain Perak K Partiban (kiri) mengawal bola ketika bertemu pasukan Pahang pada saingan Separuh Akhir Kedua Piala FA Malaysia di Stadium Perak malam ini. Keputusan semasa Perak mendahului dengan 3-0. - FOTO BERNAMA
A
A
A

IPOH – Ibarat skrip ulangan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019 lalu, Perak mara ke pentas final Shopee Piala FA 2019 apabila menewaskan Pahang pada aksi separuh akhir kedua Shopee Piala FA 2019 di Stadium Perak, malam tadi.

Kejayaan berkenaan sekali gus menyaksikan skuad The Bos Gaurus itu mara dengan agregat 4-3, walaupun tewas 1-3 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan 22 Jun lalu.

Perlawanan malam tadi menyaksikan Perak bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak gawang Pahang bagi memburu jaringan awal.

Bagaimanapun, beberapa percubaan skuad The Bos Gaurus itu gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan Tok Gajah.

Namun Stadium Perak bergema dengan sorakan penyokong skuad Kejor Yeop Skor apabila Brendan Gan menanduk masuk gol pembukaan hasil sepakan sudut Firdaus Saiyadi pada minit ke-35.

Gol berkenaan dilihat mula menyemarakkan semangat kesebelasan Perak yang melancarkan serangan bertubi-tubi ke gawang pelawat bagi menambah jaringan.

Usaha berkenaan berhasil apabila pemain sayap lincah, J.Partiban berjaya melepasi kawalan pertahanan Pahang sebelum menewaskan penjaga gol Pahang Heliza Helmi untuk gol kedua Perak pada minit ke-42.

Stadium Perak bergema lagi pada minit ke-43 apabila pertahanan Pahang Faisal Rosli tertampan bola ke gawang sendiri untuk gol ketiga Perak.

Artikel Berkaitan:

Bersambung babak kedua, Perak semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan hingga berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Pahang.

Waktu 10 minit terakhir menyaksikan Pahang mula mengasak ke gawang Perak dalam usaha merapatkan jurang gol.

Bagaimanapun, asakan-asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan Perak hingga ke wisel penamat.