ADUN jangan asyik main politik

A
A
A

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta ADUN supaya jangan terlalu banyak bercakap soal politik sehingga melupakan tugas utama membela rakyat.

Ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan kedua DUN Johor ke-14 di Johor Bahru, baginda bertitah: “Rakyat akan sentiasa menilai prestasi perkhidmatan yang diberikan oleh setiap wakil rakyat.”

“Oleh itu, tunaikanlah tanggungjawab membawa suara dan kehendak rakyat bukannya bersuara serta bertindak untuk kepentingan sendiri,” tambah baginda.

Rakyat jelata – tanpa mengira kaum – pasti bersetuju dengan titah Tuanku. Adalah jelas wakil-wakil rakyat kita terlalu sibuk bercakap mengenai politik sehingga rakyat berasa tanggungjawab terhadap mereka telah diketepikan.

OLEH sebab sibuk berpolitik, perkara-perkara yang sepatutnya diutamakan untuk faedah rakyat seperti tidak dipedulikan.

Lebih-lebih lagi dalam sehari dua ini apabila dalam kalangan orang politik termasuk kepiminan tertinggi asyik gaduh dan kecoh politik dengan saling menuding jari dan tuduhan konspirasi.

Walaupun tidak dinyatakan, semua orang dapat merasakan ada usaha tolak-menolak dan pijak-memijak untuk menjatuhkan orang lain demi perjuangan menaikkan peribadi.

Apabila timbul isu video lucah yang ditularkan dan kini dimasukkan dalam laman web porno, semakin teruklah orang berpolitik.

Artikel Berkaitan:

Maka hentikan tikam-menikam secara porno ini; tumpukan usaha membela rakyat. Jangan sampai rakyat sekali lagi menunjukkan kuasa di kotak undi pada PRU.

SEPERTI dilaporkan kerajaan merancang menjadikan isu pemilikan dan penggunaan dadah sebagai bukan kesalahan jenayah.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, langkah itu sebagai 'dasar pembawa perubahan (gamechanger) yang penting.

'Tidak dipastikan sejauh mana dan secepat mana rancangan ‘perubahan’ ini hendak dilaksana. Apa pun jangan terburu-buru untuk melaksanakannya.

Dadah adalah masalah serius yang sejak sekian lama dihadapi negara dan sudah diisytiharkan sebagai bukan sahaja ‘najis’ malah ‘musuh No.1 negara.’

Pada hemat saya, langkah atau rancangan yang sedang diura-urakan kerajaan itu sesuatu yang amat kurang bijak.

SEORANG pelajar perempuan di Skudai, Johor dirotan minggu lalu gara-gara sikap biadabnya menggelar seorang guru sebagai ‘pondan’.

Beberapa hari selepas kontroversi pondan itu, terjadi insiden lebih teruk di sebuah sekolah menengah di Kuantan, Pahang.

Seperti dilaporkan seorang murid tingkatan empat sekolah berkenaan memanggil cikgunya ‘babi’, setelah pertengkaran mengenai kerja rumah. Pelajar tersebut dipukul di bilik makmal.

Tidak kira salah cikgu atau salah murid dan apa juga hukuman yang dikenakan, perkara seperti ini semakin kerap terjadi di sekolah, bukan berita pelik lagi.

Sekolah sepatutnya tempat mendidik murid – juga guru! Dalam pembentukan akhlak mulia di kalangan insan. Tetapi ternyata sekolah kini menjadi tempat membiaknya gejala samseng.

Ini adalah cabaran utama Kementerian Pendidikan yang ingin merubah sistem pendidikan negara untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik dan tinggi nilai kemanusiaan.

PIHAK pengurusan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Izham Ismail datang ke Kementerian Pertahanan untuk berbincang.

Ini berikutan menterinya Mohamad Sabu menyatakan rasa kesal atas kelewatan pesawat berlepas menyebabkan YB berkenaan terlepas temu janji penting dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di London.Tidak sahaja Malaysia Airlines, syarikat penerbangan lain sepatutnya mengambil iktibar daripada insiden itu. Jangan suka sangat melewatkan jadual sehingga menyusahkan penumpang!

AKHIR kalam, biarpun berdepan 33 tuduhan baharu berjumlah RM42.7 juta, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih kekal bersikap ceria dan positif. Menurut peguamnya, Kitson Foong, mantan Timbalan Perdana Menteri itu sentiasa mempunyai karakter kuat seperti yang dapat dilihat di mahkamah. Kata Foong, seperti dipetik media: “Saya rasa, kalau orang lain berdepan 87 pertuduhan mahkamah (sepertinya), selalunya kita akan tertekan...” Demikianlah hebatnya pemimpin UMNO itu!