Choong Hann cabar pemain muda capai kelompok 30 terbaik dunia

Wong Choong Hann
Wong Choong Hann
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann mencabar barisan pemain perseorangan lelaki muda untuk berada di kelompok 30 terbaik dunia, dalam tempoh dua tahun akan datang.

Beliau berkata empat pemain muda yang baru dinaikkan ‘pangkat’ ke skuad senior - Lim Chong King, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Ng Tze Yong dan Muhammad Ziyad Md Tah perlu mempunyai misi dan visi untuk meletakkan diri mereka di ranking terbaik sebagai motivasi diri.

"Dengan adanya visi dan misi untuk dicapai, ia memudahkan pemain untuk lebih bermotivasi dan berdaya tahan yang tinggi sesuai untuk menghadapi situasi latihan yang sukar dan ketat.

"Seharusnya dalam masa dua tahun mereka sudah mempunyai satu platform yang kuat untuk mereka berada di ranking terbaik. Kalau kita lihat pemain luar negara, kebiasaannya bakat pemain berpotensi dapat dilihat seawal umur 21 tahun," katanya kepada media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Berdasarkan ranking terkini BWF, Muhammad Ziyad menduduki ranking ke-318, diikuti Chong King (373), Aidil Sholeh (591) manakala Tze Yong masih belum tersenarai.

Mengulas mengenai pemain yang gagal mara ke pentas final Kejuaraan Siri Antarabangsa Malaysia di Ipoh, minggu lepas, Choong Hann mengakui Chong King memang seorang pemain muda yang menonjol dalam kalangan pemain yang diserap ke dalam pasukan kebangsaan awal tahun ini.

"Memang mereka (pemain dalam tempoh percubaan termasuk Chong King) menonjol dari segi latihan, kerja keras dan berdisiplin. Dari segi keputusan Chong King menunjukkan prestasi lebih bagus.

"Jadi memang kita fokus dari segi latihan yang lebih berat kepada mereka supaya mereka boleh terus bawa kegemilangan badminton Malaysia pada masa akan datang," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: