Tok Mat bakal boneka Zahid?

A
A

BENARKAH Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah meletakkan jawatannya sebagai Presiden Umno? Atau beliau sekadar ‘bercuti’ sebagai Presiden Umno?

Perhatikan betul-betul kenyataan Zahid ketika beliau menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Umno. Zahid berkata “jika benar saya menjadi punca utama (kepada lompat parti), maka keputusan yang saya lakukan adalah kaedah sebaik-baiknya untuk saya berikan kepercayaan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas-tugas presiden”.

Zahid sendiri tidak pernah mengatakan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno, sebaliknya beliau hanya mengatakan bahawa beliau memberikan kepercayaan pada Timbalan Presiden untuk jalankan tugas sebagai presiden.

Persoalannya di sini, adakah Perlembagaan Umno membenarkan presiden menyerahkan kuasa penuhnya kepada timbalan presiden tanpa meletakkan jawatan beliau terlebih dahulu? Dalam meneliti Perlembagaan Umno ini, saya masih gagal untuk menjumpai mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Umno yang membenarkan perkara sedemikian rupa.

Zahid mengatakan bahawa beliau menyerahkan kuasa kepada Tok Mat atas dasar semangat Perlembagaan Umno kerana beliau gagal untuk mendapat ‘hidayah’ dalam membawa Umno maju ke hadapan. Namun, semangat Perlembagaan yang macam mana yang Zahid maksudkan jika Perlembagaan Umno sendiri tidak pernah mempunyai peruntukan sedemikian rupa?

Apa yang pasti, tindakan Zahid enggan melepaskan jawatan beliau sebagai presiden walaupun sudah menyerahkan kuasa kepada Tok Mat adalah satu tindakan tidak berperlembagaan (dalam Umno) dan menunjukkan bahawa beliau masih sayangkan pangkat berbanding kebajikan Umno sendiri.

Tindakan beliau menyerahkan kuasa kepada Tok Mat tanpa meletakkan jawatan seolah-olah menunjukkan bahawa beliau mahu jadikan Tok Mat sebagai boneka beliau. Mahukah Tok Mat yang terkenal dengan karisma dan keterampilan itu membiarkan dirinya menjadi boneka kepada Zahid?

Jika Zahid benar-benar berjiwa besar dan sayangkan Umno, beliau sepatutnya meletakkan jawatan dan biarkan Tok Mat memimpin Umno tanpa sebarang gangguan sehingga Perhimpunan Agung Tahunan Umno. Perlembagaan Umno memperuntukkan bahawa Pemangku Presiden boleh terus memangku jawatan presiden sehingga Perhimpunan Agung yang ke seterusnya.

Memandangkan kini Tok Mat mempunyai kuasa sebagai Presiden Umno, dengan merujuk kepada Perkara 8.5.1 Perlembagaan Umno, Tok Mat boleh mencantas Zahid dengan cara menulis kepada Setiausaha Agung Umno meminta agar Perhimpunan Agung Khas diadakan untuk Majlis Tertinggi dibubarkan dan pemilihan semula diadakan seperti yang telah diperuntukkan di bawah Perkara 9.12 Perlembagaan Umno.

Biarpun cara ini tidak mudah kerana memerlukan sokongan 2/3 daripada jumlah bilangan ahli yang berhak hadir, namun inilah cara terbaik untuk Tok Mat membuktikan beliau bukan boneka. Buat masa ini, Umno ketandusan pemimpin yang berpengaruh dan Tok Mat adalah harapan tunggal untuk memenangi jawatan presiden jika pemilihan semula dibuat.

Khairy Jamaluddin, biarpun tampak mendapat sokongan ramai rakyat Malaysia, amat tipis harapannya untuk memenangi pemilihan jawatan presiden (sekiranya diadakan semula) kerana majoriti ahli Umno masih berfikiran konservatif dan tradisional. Khairy bukan saingan sengit kepada Tok Mat sehinggalah ahli-ahli Umno mula keluar daripada kepompong pemikiran konservatif.

Sejak Pakatan Harapan berjaya ‘menakluki’ Malaysia, konservatisme di samping sentimen rasialisme dilihat semakin mencanak naik, bukan sahaja dalam Umno tetapi juga majoriti orang Melayu.

Biar apa pun yang Zahid cuba lakukan, tindakan gila kuasa dan pengecut beliau dalam melepaskan jawatan presiden secara sepenuhnya adalah tidak rasional. Umno tidak akan kembali kuat dengan tindakan Zahid hanya merehatkan dirinya.

Tok Mat harus mengambil kesempatan ini untuk merehatkan Zahid selamanya dan menyelamatkan Umno dengan cara meng-gunakan kuasa penuh beliau sebagai Presiden Umno (seperti yang sudah diberikan oleh Zahid) untuk membubarkan Majlis Tertinggi.

Inilah satu-satunya cara untuk Tok Mat menepis sebarang tuduhan bahawa beliau bakal menjadi boneka Zahid. Biarpun Zahid tidak dilihat sebagai seorang pemimpin yang berpengaruh (walaupun ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri), ini cukup untuk pihak lawan menghembuskan segala nista dalam memburukkan Umno dan Tok Mat sendiri.

Semoga ALLAH kembali merahmati Umno dan segala isi di dalamnya.

* Penulis adalah pemerhati senario politik Negaraku dan Ahli Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.