Rumah simpanan abu mayat dipecah masuk

Hasron Nazri Hashim
Hasron Nazri Hashim
A
A
A

KAMPAR - Akibat terdesak perlukan wang, empat lelaki sanggup memecah masuk rumah simpanan abu mayat di sebuah kubur Cina di Jalan Kuala Dipang-Kampar menyebabkan kerugian hampir RM1,000.

Kejadian itu disedari penjaga rumah berkenaan sekitar jam 7.50 pagi semalam selepas mendapati pintu besar rumah itu dalam keadaan terbuka manakala kunci mangga pintu bangunan telah dipecahkan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan empat suspek tidak dikenali masuk ke kawasan bangunan dengan memecah kunci jeriji menggunakan pemotong besi beraiz besar.

Menurutnya, sebaik berjaya masuk, suspek mengambil barangan peribadi dalam almari abu mayat dan memecahkan tabung derma yang mengandungi wang bercampur-campur.

"Hasil pemeriksaan didapati dua peti tabung dalam keadaan terbuka dan sebanyak 15 pintu peti simpanan abu mayat telah dipecahkan, bagaimanapun balang abu mayat tidak dirosakkan.

"Selain wang tunai, suspek turut mengambil barangan milik simati seperti rokok, jam tangan dan lain-lain yang dianggarkan bernilai RM1,000, barangan ini ada antaranya palsu dan sebahagiannya tulen," katanya.

Beliau berkata, rumah simpanan abu mayat berusia puluhan tahun itu terletak lebih kurang 200 meter dari jalan besar Ipoh ke Kuala Lumpur dan dikunci baik sebelum kejadian.

Sehubungan itu, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil menyalurkannya kepada pihak polis.

Artikel Berkaitan:

"Kes kini disiasat dibawah Seksyen 457/297 Kanun Keseksaan, usaha mengesan suspek sedang dijalankan berdasarkan kesan cap jari yang ditemui di tempat kejadian," katanya.