Polis siasat guru, pelajar bergaduh

Mohamad Noor
Mohamad Noor
A
A
A

KUANTAN - Polis sudah merakam percakapan guru lelaki yang didakwa memukul seorang pelajar Tingkatan Empat kerana pertengkaran disebabkan kegagalan pelajar itu menyiapkan tugasan di sebuah sekolah di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata, pihaknya juga turut merakam keterangan pelajar lelaki itu selepas menerima laporan yang dibuat pada Rabu lalu.

Menurutnya, pihaknya menjalankan kes itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini pihak polis sudah mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk meneruskan siasatan.

“Malah, kita juga kini dalam proses memohon laporan perubatan. Segala tindakan pada masa ini adalah untuk melengkapkan siasatan," katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, guru berkenaan pada mulanya mengarahkan semua pelajar kelasnya untuk menyerahkan kerja rumah.

Pelajar itu kemudian memberitahunya bahawa dia sudah berbuat demikian, namun guru berkenaan dikatakan secara tiba-tiba melemparkan buku latihan.

Guru itu juga didakwa melabel pelajar berkenaan dengan bahasa sensitif dan memberi amaran akan merotannya.

Artikel Berkaitan:

Murid itu didakwa membalas dengan memanggil gurunya sebagai 'babi' dan mula menendang pintu bilik darjah.

Guru itu kemudiannya mengheret pelajar berkenaan ke bilik makmal kimia sekolah dan guru itu dituduh cuba membaling sebuah kerusi logam ke arah pelajar berkenaan dan menutup pintu dan mula memukulnya.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Mohamad Noor berkata, siasatan awal mendapati, punca kejadian bermula apabila ada pernyataan berkaitan kerja sekolah yang diberikan oleh guru berusia 51 tahun itu kepada pelajarnya.

Jelasnya, tindakan pelajar terbabit yang dikatakan bersikap kasar dengan menutup pintu kelas dalam keadaan yang sangat kuat penyebab kepada berlakunya kejadian terbabit.

“Pelajar itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan sudah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.