Sandaran pelaburan Jepun masih tinggi

No Image Caption
A
A
A

LAPORAN kononnya tahap keyakinan perniagaan di Malaysia dalam kalangan syarikat Jepun terus merosot pada separuh pertama 2019 bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan.

Biarpun dalam laporan itu jangkaan separuh masa kedua akan bertambah baik tetapi peniaga pastinya mengharapkan sokongan dan tindakan kerajaan yang lebih proaktif.

Laporan hasil tinjauan Dewan Perdagangan dan Industri Jepun (Jactim) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) dari 14 Januari hingga 31 Mac lalu itu meliputi 278 responden sah.

Berdasarkan tinjauan itu, indeks penyebaran keadaan perniagaan merosot 13.7 mata kepada negatif 18.9 mata daripada separuh kedua 2018 pada negatif 5.2 mata. Ini merupakan tahap terendah sejak separuh kedua 2016.

Bagaimanapun, dalam tempoh enam bulan akan datang angka itu dijangkakan meningkat kepada 11 mata negatif.

Perang perdagangan secara besar-besaran antara Amerika Syarikat (AS) dan China turut dijangka memberi impak kepada ekonomi Malaysia.

Menurut Ketua Ekonomi Affin Hwang Capital, Alan Tan Chew Leong, krisis itu juga turut memperlahankan pertumbuhan sektor eksport Malaysia sebanyak satu hingga dua peratus.

Beliau menjangka kesannya akan dirasai jika pertemuan antara Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawatannya, Xi Jinping pada Sidang Kemuncak G-20 di Tokyo gagal mencapai keputusan positif untuk meredakan pertikaian perdagangan itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Malaysia amat bergantung kepada perdagangan dan kini menyaksikan penggantian perdagangan yang positif dan peralihan dari AS ke Malaysia dalam jangka masa pendek, tetapi dalam jangka masa panjang, sektor eksport Malaysia akan terjejas.

Harapan kini tersandar kepada kebijaksanaan kerajaan menangani perkara ini di kala kemelut AS-China sedikit sebanyak merencatkan ekonomi negara.

Berdasarkan laporan Bernama, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pelabur Jepun kini kembali yakin untuk melabur di Malaysia berikutan kedudukan ekonomi negara yang semakin memberangsangkan.

Beliau yang mengetuai siri jelajah Kementerian Kewangan ke Jepun selama tiga hari bermula 6 Februari itu berkata, antara faktor keyakinan itu adalah berdasarkan kemampuan Malaysia dalam menangani isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).