Negara menua bermula di bilik darjah

MALAYSIA sedang menuju ke arah status negara menua apabila jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas terus meningkat dari tahun ke tahun.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), negara dijangka mencapai status itu menjelang 2030 apabila golongan warga emas merangkumi sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah penduduk.
Pada tahun 2023 sahaja, populasi warga emas telah mencecah 3.8 juta orang atau 11.3 peratus daripada keseluruhan penduduk negara.
Perubahan demografi itu bukan sekadar isu statistik, malah membawa implikasi besar terhadap aspek sosial, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
Persoalannya, adakah sekolah hari ini sudah bersedia menyediakan generasi muda untuk menghadapi realiti berkenaan?
Dalam usaha melahirkan murid yang seimbang dan berdaya saing, aspek berkaitan penuaan serta penghargaan terhadap warga emas tidak boleh dipandang ringan.
Pendidikan gerontologi yang memberi pendedahan mengenai proses penuaan, keperluan warga emas dan hubungan antara generasi dilihat semakin relevan dalam konteks semasa.
Pendidikan gerontologi tidak semestinya diperkenalkan sebagai mata pelajaran baharu.
Sebaliknya, elemen itu boleh diterapkan menerusi aktiviti kokurikulum, program sukarelawan, khidmat masyarakat serta pengajaran yang menekankan nilai hormat, empati dan tanggungjawab sosial.
Pendedahan awal penting bagi membantu murid memahami bahawa warga emas bukan sekadar golongan yang memerlukan bantuan, sebaliknya individu yang memiliki pengalaman, pengetahuan dan sumbangan besar kepada masyarakat.
Pada masa yang sama, ia mampu mengurangi jurang generasi yang semakin ketara dalam dunia serba pantas hari ini.
Ketika sekolah giat mempersiapkan murid menghadapi cabaran teknologi dan kecerdasan buatan, persediaan menghadapi masyarakat yang semakin menua juga tidak wajar diketepikan.
Pendidikan yang baik bukan sahaja membentuk individu cemerlang tetapi melahirkan generasi yang menghargai manusia pada setiap peringkat usia serta memahami tanggungjawab mereka dalam membina masyarakat lebih penyayang dan inklusif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
