Angkasa perkenal MyAzZahra bantu ahli

Mohamad Azmi Omaruddin - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mohamad Azmi Omaruddin - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KELANA JAYA - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memperkenalkan portal MyAzZahra, iaitu platform untuk ahli koperasi memohon pembiayaan peribadi secara atas talian berkonsepkan syariah.

Naib Presiden Angkasa, Mohamad Azmi Omaruddin berkata, pada masa sama, Angkasa turut melaksanakan Pusat Penyelesaian Kredit Bersepadu supaya koperasi kredit dilihat sebagai alternatif kepada bank dalam menyediakan pembiayaan kepada ahli koperasi.

Menurutnya, koperasi kredit akan kekal sebagai pemberi dana, manakala Angkasa akan menyediakan perhidmatan seperti potongan gaji dalam perkhidmatan terbaru itu.

“Dalam konsep ini, Sistem Pelaporan Kredit Angkasa (SPeKAR) menjadi agenda utama. Ia bertindak sebagai sistem yang membolehkan koperasi membuat semakan awal mengenai kedudukan kredit sebelum pinjaman diproses.

“Non Bank Lending Credit Information (NLCI) pula merupakan platform bagi membolehkan koperasi memasukkan data kredit pinjaman ahli koperasi. Ia akan mempertingkatkan lagi mutu dan kredibiliti maklumat kredit dalam SPeKAR,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Ibu Pejabat Angkasa di Wisma Ungku A Aziz di sini hari ini.

Mohamad Azmi berkata, pengenalan perkhidmatan baharu itu selaras dengan agenda Angkasa untuk memartabatkan koperasi kredit agar ia dianggap setaraf dengan sektor perbankan lain.

“Tugas Angkasa bukan hanya menguruskan potongan gaji, bahkan membantu koperasi supaya mereka mendapat perolehan yang tinggi agar boleh menyumbang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara.

“Kita bukan berniaga, kita ada tanggungjawab bangunkan koperasi. Jika tak bantu, agak sukar koperasi untuk terus membangun. Kita mahu orang faham peranan kita.

Artikel Berkaitan:

“Dari aspek pengurusan potongan gaji pula, sejak kita mula uruskan dari tahun 1977 hingga sekarang, tiada satu sen pun pernah hilang. Ahli-ahli memang memberi kepercayaan penuh kepada Angkasa,” katanya.

Sementara itu, katanya, sejak 2015 Angkasa telah menggerakkan Sektor Pembangunan Perkhidmatan Kewangan yang menjadi pemangkin utama dalam pembangunan koperasi seluruh negara.

“Antara fungsi utama sektor ini termasuklah mengadakan program Rangsangan Modal Sektor Koperasi yang bertindak sebagai platform mengumpulkan bank koperasi, komersial dan berkaitan kerajaan.

“Sehingga 2018, Angkasa telah berjaya menyelaraskan penyaluran modal kerja kepada Sektor Koperasi sebanyak RM2.48 bilion kelulusan pinjaman dan RM1.06 bilion jumlah pengeluaran pinjaman.

“Sehingga Disember 2018, Angkasa telah berjaya mendaftar 305 buah koperasi yang berunsurkan kewangan,” katanya.