Warga emas didakwa bunuh warga Indonesia

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang buruh warga Indonesia di kawasan parkir motosikal Apartmen Desa Mentari, di sini 19 Jun lepas.

Mustari Maid, 61, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mustari didakwa membunuh Idris, 45, di parkir motosikal berhadapan sebuah kedai plastik berdekatan Apartmen Desa Mentari di Jalan PJS 6/4, Sungai Way di sini pada 11.12 pagi, 19 Jun lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Abdul Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 31 Julai untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Jun lalu, Bernama melaporkan seorang lelaki warga Indonesia dilaporkan maut akibat ditikam menggunakan senjata tajam selepas minum pagi bersama rakannya. - Bernama

Artikel Berkaitan: