Perak cari solusi isu parkir Klinik Kesihatan Kampung Simee

Sivanesan menunjukkan bangunan farmasi yang sedang dalam pembinaan di klinik berkenaan.
Sivanesan menunjukkan bangunan farmasi yang sedang dalam pembinaan di klinik berkenaan.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan berusaha menyelesaikan beberapa permasalahan di Klinik Kesihatan Kampung Simee khususnya melibatkan kemudahan parkir di kawasan berkenaan.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A. Sivanesan berkata, masalah kemudahan parkir di kawasan berkenaan telah berlarutan sejak sekian lama dan ia memerlukan penyelesaian segera.

Menurut Sivanesan, pihaknya akan merujuk perkara berkenaan kepada kerajaan negeri termasuk Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), berhubung penyediaan lot tanah bagi kawasan berkenaan.

"Sekiranya ada tanah kita akan bina parkir bertingkat di sini, tetapi sekiranya tiada tanah milik kerajaan negeri atau SSI di kawasan berkenaan, kita akan cuba berbincang dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak untuk benarkan pesakit meletakkan kereta kawasan jabatan berkenaan kerana ia hanya berhadapan dengan klinik tersebut.

"Kita juga mungkin akan meminta pihak polis agar membenarkan parkir di bahu jalan. Sekurang-kurangnya kita cuba fikirkan sesuatu," katanya di sini hari ini.

Sivanesan berkata demikian pada sidang media setelah mengadakan lawatan ke klinik berkenaan.

Difahamkan, klinik yang mula beroperasi selama 42 tahun itu (dibuka pada 1977), menerima kira-kira 500 pesakit setiap hari.

Dalam lawatan berkenaan, pihaknya mengenal pasti dua lagi isu utama yang perlu diberikan perhatian iaitu status bangunan farmasi serta kekurangan kakitangan di klinik berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedua-dua masalah berkenaan juga akan diberikan perhatian dan diharapkan berjaya diselesaikan segera.

"Projek pembinaan farmasi di klinik ini sedang dalam pembinaan dan kini telah siap kira-kira 80 peratus.

"Dijangkakan, projek ini akan siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini manakala bagi isu kekurangan kakitangan kita akan berbincang dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)," katanya.