TEKUN wujudkan hub usahawan di Kelantan

Suparadi (tiga dari kiri) merasmikan Hari Potensi Kemas Tanah Merah di sini.
Suparadi (tiga dari kiri) merasmikan Hari Potensi Kemas Tanah Merah di sini.
A
A
A

TANAH MERAH - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama sebuah syarikat swasta bagi membangunkan sebuah pusat hub usahawan di Kelantan tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata, hub usahawan ini akan diwujudkan sebelum hujung tahun ini dengan 4,000 usahawan dalam pengkhususan pemborong.

"Kita dalam proses menandatangani beberapa dokumen antaranya melibatkan hak milik tanah dan bangunan bagi memastikan projek ini berjalan lancar.

"Apabila wujudnya hub usahawan ini maka ia bakal menjana pendapatan tidak kurang RM100 juta kepada usahawan yang terlibat dalam projek itu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian, selepas merasmikan Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Kemas Peringkat Daerah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Ipoh di sini.

Mohamad Suparadi berkata pelaksanaan hub berkenaan bertujuan untuk membantu golongan usahawan dalam usaha mendapatkan barangan perniagaan dengan murah berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini, ramai usahawan kita dapatkan bekalan perniagaan mereka di Kuala Lumpur dan pergi terus ke negara China untuk dapatkan produk jualan mereka dan tanggung kos tinggi.

"Jadi dengan kewujudan hub usahawan pemborong ini kita akan jadi rakan (orang tengah) barang-barang borong yang lebih murah daripada mengambil dari negara China," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata hub usahawan itu turut membuka peluang kepada golongan belia khususnya kepada siswazah menganggur untuk melibatkan diri dalam keusahawanan.

"Kita mahu membentuk dan membantu golongan ini dan mewujudkan usahawan digital yang bersesuaian dengan pembinaan hub usahawan ini yang dikawal secara digital," katanya.

Beliau berkata, Kelantan amat bertuah kerana dipilih untuk pelaksanaan hub usahawan itu bersesuaian dengan budaya masyarakat negeri ini mempunyai semangat berniaga yang tinggi.

"Kalau kita kaji daripada jumlah pasar malam berbanding negeri lain, Kelantan paling pasar malam yang mana peniaga sebelum ini mengambil barang di luar negara dan kewujudan hub usahawan ini perlu dibina di negeri ini, " katanya.