Geng Faiz Tanah Merah mengaku tak salah curi motosikal

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Lima ahli Geng Faiz Tanah Merah yang terlibat atas pelbagai kesalahan membabitkan samun dan curi motosikal, menghalang tugas penjawat awam serta dadah, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Ayer Keroh di sini, sejak Mac lepas.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Faiz Anuar, 26, Mohd Amiruddin Mohd Jazaly, 32, Bong Hang Hun, 41, Muhamad Muqri Mohd Azuan, 20, dan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, didakwa terlibat dengan jenayah curi motosikal, menyembunyi, memiliki, melupus serta menjual komponen motosikal pelbagai model.

Pertuduhan ke atas kelima-lima tertuduh dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, Majistret Mazana Sinin dan Hakim Darmafikri Abu Adam, dengan pendakwaan dilakukan ke atas semua tertuduh di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 411KK, Seksyen 413KK, Seksyen 414KK, Seksyen 379A dan Seksyen 170KK.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan tersebut di beberapa lokasi sekitar Cheng dan Paya Rumput dalam daerah Melaka Tengah, antara Mac hingga Mei lepas dengan.

Dalam prosiding di hadapan Mohd Sabri, tertuduh Muhamad Faiz dan remaja berusia 14 tahun itu, didapati melakukan rompakan berkumpulan dengan mengambil sebuah motosikal jenis Yamaha LC135SE milik persendirian seorang lelaki.

Tertuduh melakukan kesalahan tersebut pada 24 Mac lepas di tepi jalan KP22 Krubong Perdana di sini sekitar 8.15 pagi dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Manakala di hadapan Mazana, Mohd Amiruddin didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, kerana didapati menghalang penjawat awam iaitu seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas ronda cegah jenayah unit bermotosikal, dengan sengaja telah melarikan diri daripada pemeriksaan serta tidak menghormati penjawat awam dalam menjalankan fungsinya, dengan enggan memberi kerjasama.

Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh di tepi jalan Taman Paya Rumput Indah di sini pada 6 Mei lepas sekitar 5 petang dan sekiranya didapati bersalah boleh dipenjara selama dua tahun atau dengan denda maksimum RM10,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Tertuduh pada tarikh, masa dan lokasi yang sama turut didapati telah menerima/ menyimpan/ menggunakan harta curi/ samun, iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha 135SE berplat pendaftaran palsu milik seorang individu yang dilaporkan hilang/samun, di mana tertuduh ada sebab untuk mempercayai harta tersebut adalah harta curi/samun.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Sesyen 411 Kanun Keseseksaan dan boleh dipenjara minimum enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohd Iqbal, J. Banusha dan N. Siva Shangari, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin keseluruhan berjumlah RM62,500 dan menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes. - Bernama