Gabungan UMNO-Pas hanya retorik politik: PKR Kelantan

Suparadi (tiga kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang selepas acara Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Tanah Merah hari ini.
Suparadi (tiga kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang selepas acara Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Tanah Merah hari ini.
A
A
A

TANAH MERAH - Gabungan UMNO dan Pas hanya retorik dan lebih kepada sifat dendam apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan selepas menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Pengerusi PKR Kelantan, Datuk Seri Mohammad Suparadi Md Noor berkata, gabungan itu perlu dilihat adakah hanya sebagai matlamat selamatkan periuk nasi mereka (UMNO-Pas) dalam politik atau perjuangan untuk Melayu?

"Lagipun UMNO dan Pas mempunyai ideologi dan fahaman berbeza serta matlamat politik mereka tidak akan ke mana-mana jika fahaman mereka tidak sehaluan.

"Jika gabungan mereka untuk Melayu maka kita serahkan apa tindakan mereka seterusnya dan rakyat sendiri juga dapat membuat penilaian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis Hari Potensi Tadika Kemas Tanah Merah di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Ipoh hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kemas Tanah Merah, Mohd Hafiz Mohammad Rafee.

Katanya lagi, kerjasama itu ia hanya dibincangkan di peringkat jawatankuasa tertinggi dan tidak menyeluruh.

"Kita lihat ia hanya dibentangkan dalam Muktamar Pas dan jika UMNO pun dalam ceramah-ceramah politik sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Pada pandangan masyarakat, ia masih tidak jelas dan setakat ini tiada perjanjian persefahaman secara rasmi," katanya.

Beliau berkata, gabungan itu juga mungkin akan berlaku perebutan kerusi antara Pas dan UMNO.

"Kita tidak menolak kemungkinan akan berlaku perebutan kerusi di peringkat Parlimen dan di Kelantan sendiri saya yakin Pas tidak mudah akan menyerahkan kerusi yang mereka sandang kepada UMNO.

"Begitu juga sebaliknya di peringkat Pusat, Pas juga mungkin akan bertindak kerana mereka juga sebelum ini sudah lama 'mengidam' untuk membina sebuah kerajaan di peringkat Pusat sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Suparadi berkata, PH perlu lebih bersiap sedia untuk pilihan raya akan datang dalam usaha memenangi hati rakyat.

"Mungkin sebelum ini, PH belum cukup sedia sepenuhnya di Kelantan, namun untuk kali ini kita buktikan kemampuan dengan menunjukkan kepimpinan di negeri ini.

"Jika PH tidak tunai janji, maka rakyat boleh pilih dan nilai.

"Berilah kita masa kerana baru setahun sahaja PH memerintah dan jika tidak mampu tunai manifesto, rakyat boleh buat keputusan dan memilih kerajaan yang mereka mahukan," katanya.