Bekalan air di Negeri Sembilan mencukupi, kata MB

Paras bekalan air terkini yang diperolehi melalui portal Syarikat Air Negeri Sembilan.
Paras bekalan air terkini yang diperolehi melalui portal Syarikat Air Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Penjualan bekalan air bersih terawat daripada Syarikat Air Negeri Sembilan kepada Kerajaan Negeri Melaka tidak akan menjejaskan bekalan air di negeri ini memandangkan paras air empangan semasa melebihi 95 peratus.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah penjualan air itu juga bergantung kepada keperluan Melaka dan sekiranya Negeri Sembilan menghadapi masalah bekalan air, penjualan itu akan dihentikan.

Katanya, Melaka menghadapi masalah pada empangan dan mereka juga bersedia menghadapi musim kemarau bagi sesetengah kawasan pada bulan Julai, Ogos dan September akan datang.

“Kita rasa kita ada kemampuan dan kita berdoa pada masa tersebut (kemarau) agar paras air di empangan kita akan berterusan, sepertimana yang berlaku pada dua bulan lalu di mana empangan kita melebihi 95 peratus, sedangkan di Melaka paras empangan mereka 45 peratus sahaja.

“Jadi kita bantu mereka khususnya di kawasan persempadanan Melaka/Negeri Sembilan untuk kita pastikan bahawa bekalan mereka juga mencukupi untuk rakyat Melaka.

"Sehingga tempoh ini empangan kita penuh tak ada masalah kecuali kalau ada paip pecah, namun sekiranya kita ada masalah (bekalan air) kita akan hentikan bantuan tersebut,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini semalam.

Sementara itu, ketika ditanya hasil yang akan dijana kerajaan negeri bagi penjualan bekalan air bersih terawat itu, Aminuddin berkata, ia bergantung kepada keperluan Melaka.

Katanya, hasil yang dijana dari penjualan ini bergantung kepada penggunaan, kalau Melaka perlukan air paip utama akan dibuka kepada mereka, bacaan meter akan diambil kira dan nilai bayaran mengikut apa dipersetujui.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat negeri ini tidak perlu bimbang, kapasiti air kita di negeri ini mencukupi, jika empangan kita kering kita akan hentikan bekalan kepada Melaka, tapi kita harap Melaka dapat atasi isu air mereka dengan baik," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Kerajaan Negeri Melaka akan menerima bekalan air pukal berjumlah 12 juta liter sehari daripada kerajaan Negeri Sembilan menerusi perjanjian persefahaman yang dimeterai Rabu lepas berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2020.

Menerusi perjanjian itu juga, Syarikat Air Melaka Berhad akan membeli bekalan air bersih terawat daripada Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) pada harga RM1.40 per meter padu bagi kawasan di sempadan negeri Melaka.