Pencemaran bau di Sungai Semenyih, gangguan air 9 malam ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEMENYIH - Pencemaran bau dikesan berlaku di Sungai Semenyih yang akan mengakibatkan bekalan air bersih di beberapa kawasan sekitar terjejas malam ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), ahli kumpulan Air Selangor, memaklumkan perkara itu menerusi satu kenyataan media sebentar tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, ekoran pencemaran yang dikesan, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sungai Semenyih) terpaksa dihenti tugas.

“Sungai Semenyih menjadi sumber air mentah bagi LRA Sungai Semenyih.

“Pihak kami dengan kerjasama agensi-agensi yang berkaitan sedang bekerjasama bagi mengenalpasti punca pencemaran.

“Beberapa kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dijangka akan terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah bermula pada jam 9 malam ini dan pihak kami akan mengemaskini maklumat terkini dan senarai kawasan yang terkesan,”katanya.

Tambah Abdul Raof, pihaknya sedang berusaha mengatasi masalah berkenaan dan kerjasama pengguna amatlah dihargai.

“Sila rujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my bagi mendapatkan maklumat dan status terkini,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari menerusi ciapan di Twitter berkata, beliau telah mengambil maklum berkenaan insiden itu.

“Saya telah dimaklumkan telah berlaku pencemaran bau di Sungai Semenyih. Saya telah mengarahkan agar langkah segera diambil bagi menghentikan pencemaran dan memulihkan sumber air tersebut.

“Siasatan lanjut turut akan dilaksanakan bagi mengenalpasti punca pencemaran,” katanya.