Jurutera wanita rugi RM350,000 terpedaya panggilan Scam

Aibee Ab Ghani
Aibee Ab Ghani
A
A
A

SEREMBAN - Seorang jurutera wanita kerugian RM350,000 selepas terpedaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan pejabat Pos dan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, wanita berusia 41 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai 'Diana Julian' dan bekerja di Ibu Pejabat Pos Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.

"Suspek memberitahu mangsa ada bungkusan mengandungi kad pengenalan dan satu jaket warna hitam.

"Mangsa menafikan dan selepas itu talian disambung kepada suspek lain yang memperkenalkan diri sebagai 'Sarjan Teoh dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Sabah," katanya.

Menurutnya, 'polis' itu mengatakan mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan dadah melibatkan suspek 'Lim Kok Weh'.

"Untuk lebih meyakinkan mangsa, suspek juga telah hantar surat waran, tangkap kepada mangsa menerusi WhatsApp.

"Kemudian talian disambung kepada suspek ketiga iaitu 'Inspektor Khoo', yang turut beritahu perkara sama menyebabkan mangsa ketakutan," katanya.

Beliau berkata, suspek beritahu akan bantu mangsa dan akan buat siasatan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Selepas empat hari kata Aibee, 'Inspektor Khoo' menghubungi mangsa dan mengarahkan membuka satu akaun Bank Rakyat.

"Mangsa akur sebelum pindahkan wang simpanannya di Amanah Saham Bumiputera (ASB) iaitu RM70,000 ke dalam akaun baharu terbabit seperti diarah suspek.

"Pada 20 Jun, mangsa sekali lagi akur permintaan suspek yang minta pindahkan duit dari akaun Tabung Haji sebanyak RM280,000 ke dalam akaun Tabung Rakyat," katanya.

Bagaimanapun katanya, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas menghubungi IPK Sabah sebelum buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Nilai pada Isnin lalu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.