X

Kindly register in order to view this article
!

Ambil tindakan tegas kepada 'orang tengah' naikkan harga durian: PPIM

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Nadzim)
A
A

MELAKA – Rungutan harga durian mahal dan membebankan pengguna akan terus berulang sekiranya tiada tindakan pihak berkuasa terhadap ‘orang tengah’ yang sewenang-wenangnya menaikkan harga, kata Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

“Bagi pendapat saya, selain penguatkuasaan undang-undang dan tindakan tegas terhadap penjual yang menipu dalam timbangan, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) boleh mengambil tindakan awal seperti menganjurkan kursus asas etika perniagaan kepada mereka yang ingin terlibat sebagai orang tengah dalam pasaran durian tempatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nadzim berkata beliau tidak menafikan bahawa peranan 'orang tengah' penting bagi membawa masuk bekalan durian dari kebun-kebun ke pasaran, namun tidak wajar sekiranya mereka mengambil untung berlipat kali ganda sehingga membebankan pengguna.

“Mengambil untung tidak salah, namun janganlah sampai membebankan pengguna yang akhirnya merugikan semua pihak. Daripada pemerhatian saya, agak sukar mencari peniaga yang jujur di negara ini, jadi perkara ini perlu segera diperbaiki bagi melahirkan peniaga yang mempunyai etika pada masa depan," katanya.

Beliau turut mencadangan pihak kerajaan memberi pendidikan awal etika perniagaan untuk melahirkan peniaga yang jujur.

“Tidak wajar sekiranya pengguna terus memboikot peniaga yang menjual durian secara timbang sebaliknya mereka perlu memberi peluang kepada pihak berkuasa untuk bertindak terlebih dahulu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai desakan beberapa pihak meminta pengguna memboikot peniaga yang menjual durian secara timbang.

Beliau menggalakkan pekebun dan penanam durian menjual terus hasil tanaman mereka kepada pengguna bagi mengecilkan kuasa orang tengah yang ingin mendapat keuntungan lebih.

Sementara itu, tinjauan rambang mendapati kebanyakan pengguna dan pekebun durian menyalahkan ‘orang tengah’ atau pemborong dalam isu kenaikan harga durian kerana mereka membeli pada harga rendah tetapi menjualnya pada harga berlipat kali ganda.

Seorang peminat durian dari Bukit Baru, Melaka yang ingin dikenali sebagai Rizal, 42, berkata adalah tidak adil peniaga menjual durian secara timbang kerana yang berat bukan isi tetapi kulitnya.

“Jika ditimbang, sebiji durian bersaiz sederhana boleh mencapai berat sehingga dua kilogram, harga pasaran durian kampung adalah sekitar RM6 hingga RM8 sekilo, jadi pengguna perlu menbayar sekitar RM16 hingga RM20 sebiji dan ianya agak mahal untuk durian kampung,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

Peniaga durian yang hanya ingin dikenali sebagai ‘Hassan’, 40, berkata, beliau yang pernah menjadi orang tengah tahun lepas berpendapat harga pasaran durian sekarang tidaklah terlalu mahal dan pengguna mempunyai pilihan untuk membeli durian mengikut gred dan jenis.

Pemborong bukan sengaja hendak menaikkan harga tetapi perlu untuk menampung kos pengangkutan dan risiko buah rosak, katanya dan menambah, harga antara RM6.40 dan RM7 sekilo adalah berpatutan kerana pekebun memerlukan modal besar untuk menanam dan menjaga pokok durian dan bukan semua orang mampu melakukanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!