Polis patahkan tiga cubaan seludup ketum

Ahmad (tengah) bersama anggota menunjukkan sebahagian ketum yang berjaya dirampas pihaknya sepanjang tiga hari berturut-turut hari ini.
Ahmad (tengah) bersama anggota menunjukkan sebahagian ketum yang berjaya dirampas pihaknya sepanjang tiga hari berturut-turut hari ini.
A
A
A

JELI - Tindakan pantas polis Jeli berjaya mematahkan tiga cubaan menyeludup ketum ke negeri ini dalam tempoh tiga hari berturut-turut sejak 18 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, sebanyak 600kg ketum bernilai RM18,000 berjaya dirampas dan seorang lelaki turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Cubaan pertama pada 18 Jun lalu melibatkan 19 bungkusan beg plastik hitam berisi daun hijau disyaki ketum dianggarkan seberat 190kg.

“Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan berikutan kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan ditemui ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Kampung Baru Sungai Rual,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, anggota yang membuat rondaan di kawasan tersebut kira-kira jam 11 pagi mendapati kereta berkenaan sudah berada di lokasi.

“Pemantauan selama satu jam dilakukan di kawasan berkenaan sebelum anggota bertindak menghampiri dan menemui bungkusan ketum di dalamnya,” katanya.

Ahmad berkata, cubaan kedua pula pada 19 Jun lalu melibatkan 25 bungkusan beg plastik hitam disyaki ketum seberat 240kg.

“Ia melibatkan Perodua Myvi yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Grik ke Jeli sebelum diekori sepasukan anggota Agensi Kawalan Sempadan (Aksem).

Artikel Berkaitan:

Ahmad melihat Perodua Myvi yang digunakan untuk menyeludup ketum.
Ahmad melihat Perodua Myvi yang digunakan untuk menyeludup ketum.

"Pemandu yang mungkin menyedari kehadiran anggota Aksem memecut laju memasuki laluan Kampung Lawang sebelum kereta tersebut hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang elektrik," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, ketika dihampiri anggota Aksem, pemandu sudah menghilangkan diri sebelum siasatan lanjut terhadap kereta berkenaan dilakukan.

"Cubaan ketiga pula pada 20 Jun lalu melibatkan 764 bungkusan plastik lut sinar berisi daun hijau disyaki ketum dengan berat 170kg dan seorang lelaki berusia 47 tahun ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota yang cuba menghalang suspek daripada melarikan diri.

“Suspek yang memandu kereta jenis Honda Stream sebelum itu cuba ditahan sepasukan anggota di persimpangan lampu isyarat Jeli - Tanah Merah. Bagaimanapun suspek bertindak agresif dan cuba melanggar kenderaan anggota sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan,” katanya.

Ahmad berkata, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan didakwa di mahkamah pada 24 Jun lalu serta dibenarkan diikat jamin sebanyak RM9,000, namun belum menjelaskan jaminan.

“Daun-daun ketum berkenaan dipercayai dibawa masuk ke negeri ini dari Kedah untuk dihantar ke Meranti, Pasir Mas sebelum dipasarkan ke Thailand.

"Ketiga-tiga kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Bagi kes positif dadah, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(5) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.