Penganggur rompak pemandu Grab dipenjara 5 tahun, sebatan

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Padah menyamun seorang pemandu Grab tahun lepas, seorang penganggur dihukum penjara lima tahun dan satu sebutan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini.

Hakim Suzanna Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammed Azlan Shah Zamri, 25, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika kes ditetapkan untuk perbicaraan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu 1 November tahun lepas.

Mengikut pertuduhan, Azlan didakwa telah merompak secara berkumpulan terhadap Mok Jun Yue, 22, dan merampas tiga kad ATM, satu telefon bimbit, wang tunai RM210 dan menggunakan senjata iaitu sebilah pisau.

Kesalahan itu dilakukan di Taman Bakti Ampang, daerah Hulu Langat kira-kira 4 pagi, pada 20 Nov,2018.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam disamping statistik kes-kes sebegini yang tinggi dan berlaku berleluasa.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Razman Sahat dan Muhammad Amin Abdullah pula memohon hukuman ringan serta telah insaf dan menyesal dengan perbuatan itu.

Artikel Berkaitan:

Razman berkata, anak guamnya perlu bekerja selepas ini untuk membantu keluarga selepas ayahnya disahkan menghidapi kanser usus dan sakit jantung serta tidak lagi mampu bekerja untuk menanggung keluarga.

Menurut fakta kes, mangsa yang memandu Grab telah menghantar tiga orang ke Taman Bakti Ampang.

Namun apabila meminta duit tambang, lehernya telah dipaut dari belakang dan satu pisau diacukan ke arahnya oleh penumpang yang duduk di bahagian belakang.

Lebih malang lagi penumpang yang duduk di hadapan pula telah merompak barang-barang milik mangsa dan kemudiannya kesemua mereka melarikan diri.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kesemua individu termasuk tertuduh yang dipercayai giat melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata di sekitar Lembah Klang ditahan polis dalam tiga serbuan yang dilakukan.