Pencemaran udara: Kementerian pastikan tiada pelajar ketinggalan

Maszlee (tengah) merasmikan Kolokium Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Kebangsaan 2019 di Universiti Malaysia Pahang hari ini.
A
A

KUANTAN- Kementerian Pendidikan sudah mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan pelajar terjejas akibat pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor Baharu, tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata, langkah-langkah yang terbaik sesuai telah diambil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor bagi mengatasi isu terbabit.

Menurutnya, malah kementerian juga sentiasa mengikuti perkembangan isu tersebut secara dekat melalui jabatan itu.

“Kita sentiasa ambil perhatian pengumuman pengumuman rasmi juga sudah dibuat dari semasa ke semasa.

“Malah, kita sudah pasti mempunyai SOP yang ditetapkan berdasarkan pengalaman kita menghadapi isu yang sama sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kolokium Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Kebangsaan 2019 di Universiti Malaysia Pahang hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim.

Minggu lalu, berlaku lagi pencemaran udara di Pasir Gudang sehingga menyebabkan semua institusi pendidikan di kawasan berkenaan ditutup sehingga Khamis ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sebanyak 111 sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi dan 14 sekolah swasta serta antarabangsa, selain 347 tadika swasta yang berdaftar dengan JPN ditutup.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, kementerian sudah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menambahkan peruntukan di dalam pembelajaran dan pendidikan sains.

Jelasnya, berdasarkan perbincangan itu, Dr Mahathir melihat perlunya penambahan peruntukan itu bagi membolehkan kementerian memperhebatkan pembelajaran dan pendidikan sains ini.

“Jumlah kita akan umumkan nanti, tetapi peruntukan ini penting kerana kita mahu sasaran Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera tercapai," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia