Kerjasama Pas-UMNO: Apa selepas ini...

No Image Caption
A
A
A

MUKTAMAR Tahunan Pas kali ke-65 yang mengangkat tema Islam Memimpin Perpaduan di bumi Kuantan, Pahang minggu lalu melabuhkan tirainya dengan penuh harmoni kelmarin.

Jauh daripada sebarang kejutan, usul yang paling ditunggu-tunggu iaitu berkaitan kerjasama politik atau taawun dengan UMNO mendapat mandat sebulat suara daripada perwakilan untuk diteruskan.

Tiada lagi hati perwakilan yang membungkam kerana tidak dapat menerima hakikat kerjasama itu.Sebaliknya, rata-rata mereka pulang ke negeri masing-masing membawa bersama semangat berkobar-kobar untuk memastikan taawun itu direalisasikan dengan penuh bermakna.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelihatan begitu ceria melayan pertanyaan para wartawan yang banyak berkisar mengenai kerjasama politik dengan UMNO ketika sidang akhbar terakhir muktamar Ahad lalu.

Kegirangan Abdul Hadi yang mesra disapa Ayah Chik itu sudah pastinya berdasarkan keyakinan beliau bahawa tiada lagi ahli yang menolak taawun dengan UMNO. Jika ada pun, beliau hanya menganggapnya sebagai suara terpencil.

“Itu suara terpencil (yang tak puas hati) terlalu sedikit. Mereka yang dah lama dan ikut budaya politik matang dan sejahtera dapat menerima keputusan yang kami buat,” katanya.

Orang nombor satu Pas itu juga mempunyai takrifan sendiri ketika ditanya hubungan dengan UMNO.

Bukan seperti sesetengah pihak yang melabel Pas-UMNO umpama kekasih lama yang cintanya bertaut kembali, Abdul Hadi pula melihat hubungan mereka sebagai adik-beradik yang tidak boleh berkahwin.

Artikel Berkaitan:

Tentunya takrifan adik-beradik ini lebih istimewa kerana ibarat kata pepatah, air dicincang tak akan putus.

Di pihak UMNO juga tiada bantahan terhadap kerjasama ini seperti dinyatakan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“UMNO akan memberikan komitmen dan kerjasama yang selayaknya untuk bersama-sama Pas bagi menyusun ikhtiar dan mencari pendekatan terbaik dalam mengukuhkan Malaysia dan Islam dari segenap segi,” katanya.

Hasil kesepakatan awal itulah yang akan dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Pas-UMNO pada 12 Julai ini.

Daripada situ, piagam keseluruhan penyatuan ummah ini akan dibentuk dan seterusnya menjadi suatu panduan kepada kerjasama politik Pas dan UMNO.

No Image Caption

Taawun

Menyentuh mengenai taawun dua parti Melayu terbesar itu, mungkin masih ada pihak luar khususnya rakyat belum jelas dengan tujuan ia dijalinkan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan ketika diminta menjelaskan perkara itu berkata, taawun dengan UMNO merupakan inisiatif yang wajar diambil untuk menyelamatkan negara daripada keadaan tidak keruan ketika ini.

“Sasaran kita dalam jangka pendek ialah untuk menyelamatkan negara daripada keadaan tidak menentu ini. Jangka sederhana adalah untuk PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) yang mungkin akan diadakan lebih awal.

“Sementara, jangka panjangnya ialah negara secara keseluruhan. Kita yakin kombinasi Pas dan UMNO ini pilihan terbaik untuk negara dan rakyat,” katanya.Daripada aspek prinsip dan dasar parti pula, sudah tentunya beberapa perbezaan yang wujud dilihat sebagai penghalang kepada kerjasama berkenaan

Pengalaman lalu menjadi bukti di mana dasar Pas yang memperjuangkan agenda Islam tidak dipersetujui rakan sekutu hingga membawa kepada berkuburnya Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, dalam konteks kerjasama itu, titik persamaan lebih mudah dicapai kerana UMNO juga meletakkan Islam sebagai matlamat.

“Pas adalah parti berteraskan dakwah dan siasah. Jadi matlamat kita jelas untuk menegakkan sebuah masyarakat beriman yang berpandu kepada negara Islam.

“Kalau UMNO-BN mahu hanya ada kerajaan tanpa mempertahankan agama, mereka boleh pilih parti lain. Tetapi UMNO memilih Pas kerana mereka meletakkan agama sebagai matlamat.

“Apabila sesebuah gabungan itu menyebabkan ruginya Islam, maka di situlah kita akan bincang balik,” katanya.

Beliau berkata, Pas terpaksa keluar daripada Pakatan Rakyat selepas DAP menolak gagasan Islam yang dibawa parti itu.

Kerjasama PRU15

Satu lagi kegusaran ialah sama ada kerjasama ini mampu bertahan sehingga PRU15 yang sekurang-kurangnya berbaki empat tahun lagi. Atau sempatkah semua persetujuan dicapai jika PRU15 berlangsung lebih awal?

Ketua Dewan Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam ketika diajukan persoalan itu optimis kerjasama berkenaan akan mencapai kemuncaknya pada PRU15.

“Kita tak boleh ramal sama ada kerjasama ini akan mampu bertahan sehingga PRU15, itu kerja ALLAH. Cuma kita boleh berusaha dan insya-ALLAH kalau kita jadikan Islam sebagai prinsip kepada perpaduan.

"Saya yakin pada PRU15 kita akan nampak hasilnya iaitu satu lawan satu dan kemenangan berpihak kepada kita,” ujarnya.

Bagi pemerhati politik pula, kerjasama kedua-dua parti itu sangat penting terhadap masa depan orang Melayu tanpa meminggirkan kaum lain.

Penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff berkata, Pas dan UMNO perlu berusaha keras untuk menyedarkan pengundi mengenai kerjasama itu.

“Kerjasama dua parti ini tidak rasis sebaliknya boleh beri impak positif termasuk kepada kaum lain. Saya percaya bangsa lain juga perlukan negara yang makmur.

“Kerjasama ini adalah gabungan kekuatan orang Melayu untuk teruskan tunggak kepimpinan politik di negara ini dan dalam masa sama merealisasikan wawasan politik yang nak kita jelmakan dalam PRU15,” katanya.

Berkenaan pembahagian kerusi katanya, kedua-dua parti itu dilihat tiada masalah untuk mencapai kesepakatan seterusnya mewujudkan persaingan satu lawan satu dengan PH.

“Ketika ini kerusi dalam Parlimen kedua-dua parti jika digabungkan mencecah 55 kerusi tak termasuk MCA dan MIC. Pas dan UMNO memerlukan lebih banyak kerusi dan sokongan padu daripada parti Sabah dan Sarawak,” katanya.Tidak sah juga jika membicarakan isu kerjasama Pas-UMNO ini tanpa mengambil kira pandangan pihak yang akan berdepan dengan mereka iaitu Pakatan Harapan (PH).

Apatah lagi dua daripada parti dalam PH iaitu PKR dan DAP pernah bertahaluf siyasi dengan Pas dalam PH sebelum ini.

Namun, yang tentunya lebih memahami Pas ialah parti serpihannya iaitu Amanah yang disingkirkan kerana penentangan terhadap kerjasama Pas-UMNO.

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyifatkan Pas mula bergerak ke arah politik assabiyah sama seperti UMNO.

“Sekarang sudah jelas, apa yang dinafikan mereka dahulu. Perkara ini patut dizahirkan lebih awal, kenapa tunggu lepas PRU14? Di mana pegangan prinsip Pas?

“Kenapa Pas berdolak-dalih dengan penyokong dan ahli mereka dengan siri-siri penafian. Sekarang guna konsep taawun, tahaluf, persefahaman, kerjasama dan lain-lain.

“Sebenarnya, cara Pas ialah memaksa ahli dan penyokong supaya taat yang dikatakan wala’. Ramai penyokong tak setuju tapi takut nak bersuara kerana takut dilabelkan sebagai pengkhianat seperti kami,” katanya.

Beliau melihat kerjasama Pas-UMNO samar dan Pas tidak konsisten dalam pendiriannya.

Masih samar atau tidak, mesyuarat Jawatankuasa Induk Pas-UMNO pada 12 Julai nanti akan memuktamadkan kerjasama yang akan disepakati kedua-dua parti berkenaan.PH anggap kerjasama Pas-UMNO samar