Ancaman anjing liar, nyawa jadi taruhan

KES orang awam diserang anjing liar semakin membimbangkan apabila kawasan kediaman dan kemudahan awam sepatutnya menjadi tempat selamat kini 'dianggap' mengancam nyawa.
Beberapa hari lalu, seorang kanak- kanak lelaki berusia tujuh tahun parah diserang sekumpulan anjing liar ketika bermain di taman permainan di Lima Kedai, Iskandar Puteri di Johor.
Pada tarikh dan daerah sama, remaja lelaki berusia 15 tahun turut diterkam anjing liar ketika keluar membeli ubat untuk adiknya yang demam.
Kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan penduduk, khususnya kanak-kanak yang menggunakan kemudahan awam dan bermain di kawasan perumahan, apabila haiwan dianggap tidak berbahaya oleh sesetengah pihak bertukar sebagai ancaman.
Terdahulu, pada 5 September lalu, nasib kanak-kanak dua tahun, Nur Haira Wafiqah diserang lima anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, juga menyayat hati.
Insiden menyebabkan kecederaan serius pada bahagian kepala dan mengundang kebimbangan kemungkinan kesan kekal terhadap si kecil termasuk gangguan pertumbuhan rambut.
Paling membimbangkan, ancaman anjing liar bukan hanya melibatkan serangan fizikal, malah membawa risiko jangkitan rabies atau penyakit anjing gila yang mematikan.
Selepas 28 tahun tanpa kematian akibat rabies di Malaysia, penyakit itu kembali meragut nyawa apabila seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu, Kedah meninggal dunia pada 27 September selepas digigit anjing liar di Changlun pada Ogos.
Kes itu merupakan kematian manusia akibat rabies pertama dilaporkan di Kedah sejak 1998!
Mangsa tidak menerima rawatan profilaksis pascapendedahan atau post-exposure prophylaxis (PEP) bagi mencegah jangkitan selepas gigitan mula menunjukkan gejala pada 18 September sebelum disahkan positif rabies pada 26 September, sehari sebelum meninggal dunia.
Rentetan kejadian ini seharusnya menjadi peringatan isu anjing liar dan haiwan terbiar memerlukan tindakan bersepadu serta berterusan, bukan sekadar operasi selepas tragedi berlaku.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dipertanggungjawabkan bagi pengurusan anjing berkeliaran dalam kawasan pentadbirannya. Selain menerima aduan, isu anjing liar ini perlu diperangi melalui operasi penguatkuasaan yang lebih kerap, kawalan populasi dan kerjasama dengan badan kebajikan.
Agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga penting dalam aspek kesihatan haiwan dan kawalan penyakit zoonotik terutama rabies. Ia bukan sekadar membuat pemantauan penyakit, malah perlu memperluas fungsi termasuk pengambilan sampel haiwan yang disyaki dijangkiti dan bekerjasama dengan PBT dalam operasi kawalan di kawasan berisiko.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) khususnya perlu memperkukuh dasar dan garis panduan pengurusan kerajaan tempatan, selain memastikan PBT meningkatkan keberkesanan tindakan kawalan anjing liar di bawah bidang kuasa masing-masing.
Keberkesanan pelaksanaan bergantung kepada kerjasama, koordinasi, sumber dan penguatkuasaan di lapangan. Paling penting, aduan penduduk ditangani dengan berkesan, terutama di kawasan perumahan, taman permainan dan laluan yang kerap digunakan orang awam.
Paling penting, pengurusan populasi haiwan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira keselamatan masyarakat dan kebajikan haiwan.
Sudah terlalu banyak kejadian yang mengundang kebimbangan, malah ada yang meninggalkan kesan seumur hidup kepada mangsa dan keluarga.
Keselamatan orang awam tidak seharusnya hanya menjadi keutamaan selepas tragedi berlaku. PBT dan agensi berkaitan perlu memperkukuh tindakan pencegahan, penguatkuasaan serta pemantauan secara berterusan agar isu anjing liar tidak terus berulang.
Jangan tunggu sehingga lebih banyak nyawa menjadi taruhan untuk bertindak kerana mencegah tragedi jauh lebih baik daripada menyesali kehilangan yang tidak mungkin dapat diganti.
*Azma Mohd Lazim ialah wartawan SinarPlus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
