Projek kuari ancam Gua Sireh

Jarak 1.91km antara Gua Sireh dan operasi kuari bakal dijalankan. Gambar kanan: Jarak di antara Gua Sireh dan lokasi projek kuari.
Jarak 1.91km antara Gua Sireh dan operasi kuari bakal dijalankan. Gambar kanan: Jarak di antara Gua Sireh dan lokasi projek kuari.
A
A
A

BALING - Nyawa pengunjung Gua Sireh di Kampung Dalam Wang/Padang Che Masdi sini bakal terancam sekiranya kerajaan negeri berkeras membenarkan projek kuari batu di kawasan Gua Kelambu, Gunung Pulai beroperasi.

Setiausaha Persatuan Penduduk Kampung Dalam Wang, Mohd Zaid Ab Mokti berkata, ini kerana jarak Gua Sireh dan projek kuari hanya kurang dua kilometer walaupun kedua-kedua lokasi terletak di kampung berlainan.

Menurutnya, pihak persatuan bimbang gegaran akan memberikan kesan kepada struktur batu dalam Gua Sireh hingga menjejaskan keselamatan pengunjung.

“Kemungkinan besar ia memberikan kesan kepada keselamatan pengunjung sekaligus boleh menyebabkan kemerosotan jumlah pelancong ke kampung ini.

“Mengikut pengiraan aplikasi jarak kawasan kuari dengan Gua Sireh hanya dalam lingkungan 1.91 kilometer,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kaki Gua Sireh di sini semalam.

Mohd Zaid berkata, batu-batu gunung juga dikhuatiri terjatuh akibat letupan projek berkenaan.

“Kemungkinan untuk berlaku risiko seperti itu ada kerana jarak di kedua-dua lokasi begitu hampir,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Samsuri dan Mohd Zaid
Samsuri dan Mohd Zaid

Menurutnya, kesan gegaran daripada projek kuari itu kemungkinan besar dapat menjejaskan struktur batu terutamanya stalaktit dan stalagmit dalam Gua Sireh.

“Pembentukan stalaktit dan stalagmit mengambil masa ribuan tahun. Semua ini boleh musnah dalam sekelip mata saja sekiranya projek kuari dilaksanakan.

“Sekarang ini di Gua Sireh pun kita dapat rasai kesan gegaran dari operasi Bukit Puyuh walaupun jaraknya 7 kilometer. Bayangkan jika letupan yang jaraknya kurang dari 2 kilometer,” katanya.

Mohd Zaid berkata, kira-kira 2,000 penduduk Kampung Dalam Wang dan Padang Che Mas juga akan menerima kesan buruk daripada projek itu dan lebih 7,000 pengunjung masuk ke Gua Sireh sejak dibuka Februari lalu.

“Kita sangat hairan sepatutnya ia dikaji secara mendalam terlebih dahulu. Selain bakal menjejaskan produk pelancongan terbaru Baling iaitu Gua Sireh, projek itu akan menjejaskan penduduk, hasil pertanian termasuk sumber air sungai.

"Kerajaan negeri diharap prihatin kebimbangan penduduk di kawasan sekitar Gunung Pulai dengan menukarkan projek tersebut kepada industri pelancongan. Kita tidak menolak sebarang kemajuan tetapi bagi isu kuari ini biarlah kerajaan negeri melakukan kajian lebih terperinci,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Surau Al-Ikhwan Kampung Baru Dalam Wang, Samsuri Md Zaik berkata, penduduk amat berharap kerajaan negeri tidak melaksanakan projek kuari yang bakal menjejaskan kehidupan mereka.

“Kami akan terima kesan habuk dan debu yang akan menyebabkan selesema, asma dan batuk. Kita harap ia dibatalkan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yiked Holding, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, Gua Sireh tidak akan terjejas memandangkan kedudukannya yang masih jauh dari kawasan projek kuari di kawasan Gunung Pulai.

“Gua itu terletak di luar itu sedikit dari kawasan projek kuari. Ia diambil kira. Menurut makluman yang diberi, asalnya beberapa gua termasuk dalam kawasan posisi itu tapi apabila ada isu-isu berkaitan gua, ia sebenarnya dikeluarkan daripada kawasan itu.

“Tiada gua akan terlibat dan kaedah pengambilan batu turut dibuat secara terkawal,” katanya.