Semua institusi pendidikan Pasir Gudang ditutup tiga hari

Suasana di pekarangan Stadium Tertutup Pasir Gudang yang menerima mangsa-mangsa yang kebanyakannya pelajar sekolah. - Foto Wan Mohd Hazan Amru
Suasana di pekarangan Stadium Tertutup Pasir Gudang yang menerima mangsa-mangsa yang kebanyakannya pelajar sekolah. - Foto Wan Mohd Hazan Amru
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) memaklumkan semua institusi pendidikan kawalan Kementerian Pendidikan terletak dalam daerah Pasir Gudang ditutup mulai 25 hingga 27 Jun ini.

Pengarahnya, Azman Adnan berkata, ia melibatkan 111 buah sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan, tiga institusi pengajian tinggi, 14 sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

“JPNJ merujuk kepada kenyataan media oleh Menteri Besar Johor berkaitan insiden pencemaran bau pada jam 6.30 petang tadi yang menyatakan bahawa kesemua institusi pendidikan dalam daerah Pasir Gudang ditutup sehingga hari Khamis, 27 Jun 2019.

“Sehubungan dengan itu, JPNJ ingin memakumkan kepada semua institusi pendidikan dalam kawalan Kementerian Pendidikan yang terletak dalam daerah Pasir Gudang iaitu sebanyak 111 buah sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan, tiga institusi pengajian tinggi, 14 sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta berdaftar dengan JPNJ ditutup mulai 25 Jun hingga 27 Jun 2019 untuk kerja-kerja berkaitan mengatasi isu bahan punca pencemaran dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata, semua pengetua dan guru besar dimohon untuk memaklumkan segera kepada semua murid, guru dan ibu bapa serta kakitangan dalam kawalan masing-masing, dan mengambil tindakan susulan berkaitan penutupan itu.

No Image Caption

“Jabatan ini akan sentiasa membuat pemantauan rapi dan membantu sekolah-sekolah bagi memastikan kesejahteraan murid-murid berada dalam keadaan yang terbaik.

“Marilah kita bersama mendoakan agar insiden ini akan dapat diatasi segera dan sekolah akan dapat beroperasi seperti biasa demi kebaikan para murid,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'Punca pencemaran udara diketahui dalam sehari dua'

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, punca pencemaran di kawasan Pasir Gudang sehingga menyebabkan ramai mangsa termasuk pelajar sekolah sesak nafas dan muntah sejak Khamis lepas, hanya akan diketahui dalam sehari dua lagi.

Dalam mengesahkan perkara itu, beliau berkata, agensi berkaitan kini dalam peringkat akhir untuk mengenalpasti bahan kimia yang terlibat.

“Bagaimanapun, punca pencemaran itu akan diumumkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) atau Jabatan Kimia. Tunggu dalam sehari dua lagi.

“Sebaik dapat tahu kimia itu apa, kita akan terus umumkan,” kata beliau kepada pemberita di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

Sementara itu, 30 kilang kimia di Pasir Gudang telah disenarai pendek untuk disiasat bagi mengenalpasti sama ada bahan kimia yang diproses di kilang-kilang itu menjadi punca kepada pencemaran terbaru di Pasir Gudang ini.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar akan menyiasat dan jika didapati kimia hampir sama dengan kimia yang menyebabkan punca pelajar sesak nafas, kita akan arahkan penutupan operasi (untuk kilang-kilang berkenaan),” katanya.

Setakat ini, di Pasir Gudang terdapat 265 kilang yang beroperasi.