Megat Zaharuddin dijangka lepas jawatan Pengerusi Felda?

Megat Zaharuddin
Megat Zaharuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor membayangkan akan melepaskan jawatannya pada 30 Jun ini.

Menerusi satu tangkap layar e-mel yang tersebar melalui aplikasi Whatsapp, Megat Zaharuddin berkata, beliau akan meninggalkan badan itu setelah penglibatannya hampir setahun di Felda.

“Hampir setahun Felda beroperasi dengan misi, visi baharu dan nilai teras baharu.

"Kita di setiap jabatan telah ada niat strategik dan pelan induk bagi merealisasikan impian Felda untuk menjadi pemacu pembangunan penempatan negara yang progresif.

“Dalam masa setahun ini juga, beberapa pelan transformasi telah diperkenalkan dan diketengahkan.

"Tiga berjaya dilaksanakan, tujuh masih lagi dalam proses penyelesaian dan selebihnya bakal menyusul selewat-lewatnya hujung 2019,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Zaharuddin berkata, pada 10 April yang lepas juga, kerajaan telah membentangkan Kertas Putih untuk kelestarian Felda dengan Model Baharu.

“Dengan itu pelan transformasi kita telah diperkemaskini dan tidak berapa lama lagi, Felda akan distruktur semula untuk menjayakan segala usaha-usaha untuk Felda Baharu.

Artikel Berkaitan:

“Itulah perjalanan dan penglibatan saya selama berkhidmat di sini namun begitu perjalanan saya sudah sampai ke penghujungnya.

"Dengan itu pada hari ini, dengan berat hati saya ingin mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai Pengerusi Felda.

"Hari terakhir saya di agensi yang gemilang ini bermula pada 30 Jun 2019,” katanya.

Bagaimanapun, Sinar Harian masih cuba untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak Felda sendiri berkenaan perkara tersebut.

Megat Zaharuddin sebelum ini dilantik menjadi Pengerusi Felda pada 27 Julai 2018 menggantikan Tan Sri Shahrir Samad yang meletak jawatan pada 14 Mei 2018.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Maybank untuk tempoh tujuh tahun.