JPJ senarai hitam 256 pemandu kereta klon

Zulkarnain (dua, kanan) ketika menghadiri majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri JPJ Terengganu, hari ini.
Zulkarnain (dua, kanan) ketika menghadiri majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri JPJ Terengganu, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 256 pemandu kereta klon telah disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu bermula 2015 hingga 2019 kerana gagal hadir ke mahkamah.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, kesemua pemandu kenderaan terbabit dikenakan tindakan di bawah pelesenan dan pemilikan kenderaan iaitu tidak boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen serta semua urusan lain melibatkan JPJ sehingga kes itu selesai.

Menurutnya, dalam tempoh empat tahun bermula 2015 hingga Mei 2019, seramai 51 pemandu kenderaan klon di Terengganu telah selesai membayar denda mahkamah sebanyak RM384,900 atas kesalahan memiliki kenderaan itu.

"Mengikut rekod JPJ Terengganu, pada 2015, sebanyak 24 kes membabitkan kereta klon berjaya diselesaikan dengan jumlah denda sebanyak RM113,000 manakala pada tahun 2016, sebanyak lapan kes berjaya diselesaikan (denda RM86,800).

"Pada 2017, sebanyak 11 kes kereta klon didenda sebanyak RM96,100; 2018 (lima kes dan jumlah denda RM53,000) manakala pada tahun ini, tiga kes telah selesai dengan denda RM36,000," katanya kepada pemberita di majlis jamuan Aidilfitri JPJ Terengganu, di sini hari ini.

Beliau berkata, JPJ Terengganu berjaya mengesan sebanyak 307 buah kenderaan klon kebanyakannya daripada model Mercedes Benz, Volkswagon, Honda, Toyota, Mini Cooper, Subaru dan Volvo sejak 2015.

Katanya, keinginan tinggi untuk memiliki kenderaan mewah menjadi punca utama kereta itu mendapat sambutan tinggi dalam kalangan pembeli.

Sehubungan itu, katanya, beliau menyarankan orang ramai yang membeli kenderaan pada harga murah 50 peratus berbanding harga pasaran agar datang membuat pemeriksaan di JPJ bagi mengelak mereka terlibat dengan sindiket kereta klon.

Artikel Berkaitan:

"JPJ Terengganu ada menyediakan khidmat pemeriksaan kenderaan secara percuma oleh Bahagian Kejuruteraan Automotif bagi membantu orang ramai supaya tidak tertipu dengan sindiket kereta klon.

"Jadi, kepada pemilik kenderaan mewah yang ragu-ragu dengan status kenderaan, boleh ke JPJ untuk memeriksa kenderaan mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, kebanyakan kes gagal membawa kepada penemuan sindiket kerana mereka menjalankan kegiatan secara licik.

"Sindiket ini sangat licik, mereka mendakwa kenderaan itu dijual pada harga murah kerana ia adalah kenderaan terpakai sedangkan ia adalah kereta klon.

"Sindiket ini juga sukar dikesan kerana sebaik sahaja urusniaga berakhir, mereka akan terus memutuskan hubungan dengan pembeli termasuk menukar nombor telefon.

"Ini antara sebab yang menyukarkan proses menjejak sindiket yang terlibat dalam kegiatan itu," katanya.